Tempat Menarik Di Kedah, Negeri Jelapang Padi

Jom lah menerokai tempat-tempat menarik di Kedah, negeri Jelapang Padi, negeri yang aktif dengan aktiviti pertaniannya ini. Bagi anda yang dah masak dengan kehidupan di kota, datanglah ke negeri di utara semenanjung Malaysia ini untuk melegakan minda dan badan.

Persekitaran desa nya yang indah, sawah padi yang terbentang luas dan alam semulajadi yang tidak terganggu oleh sebarang pencemaran ini dapat memberikan anda sekeluarga pengalaman percutian yang mendamaikan jiwa.

Ultimate Horse Training and Stud Farm

Ultimate Horse Training and Stud Farm Kedah

Nak merasa pengalaman menjadi koboi? Ultimate Horse Training and Stud Farm adalah lokasi yang patut anda lawati kalau bercuti di Kedah. Pakej  menunggang kuda yang ditawarkan cukup berpatutan, dapatlah seluruh ahli keluarga mencuba tanpa fikir dua tiga kali. Yang menariknya, untuk masuk ke dalam kawasan ini dan melihat kuda-kuda yang ada adalah percuma. Ya, anda hanya perlu bayar sekiranya ingin menunggang kuda.

Memang rugi kalau tak datang memandangkan ladang ini bukan sahaja menempatkan kuda tapi juga haiwan-haiwan lain seperti rusa dan burung unta. Di samping itu, anda juga berpeluang untuk memberi anak-anak rusa yang ada di sini meminum susu yang disediakan.

Merdeka Clock Tower / Menara Jam Besar

Menara Jam Besar Sungai Petani Kedah

Merdeka Clock Tower ataupun Menara Jam Besar ini adalah sebuah binaan klasik yang telah berdiri dengan teguh di hadapan Masjid Zahir sejak tahun 1912 lagi. Mengenai seni binanya, dapat dilihat unsur kesenian Islam dengan kewujudan bulan sabit dan kubah. Namun begitu, apabila diamati ukiran di bahagian bawah menara, wujud pengaruh Hindu terutama sekali ukiran pada bahagian pintu masuk menara. Gabungan yang agak unikkan?

Pada suatu ketika dahulu, menara jam ini akan berbunyi untuk menandakan masuknya waktu solat. Ini akan diikuti dengan paluan gong atau nobat di Balai Nobat sebelum azan mula dilaungkan di Masjid Zahir.

Taman Burung Kulim

 Taman Burung Kulim Kedah

Tercari-cari lokasi yang best untuk dilawati dengan anak-anak? Anda boleh mempertimbangkan untuk ke Taman Burung Kulim yang terletak tidak jauh dari pejabat pos Kulim.

Walaupun nama diberikan “Taman Burung” tapi sebenarnya di dalam taman ini terdapat banyak lagi haiwan lain, boleh dikatakan tempat ni macam sebuah zoo mini. Antara haiwan yang ada adalah seperti itik, ayam, arnab, kura-kura, ikan dan sebagainya.

Semasa berada di sini, anda sekeluarga boleh membeli makanan haiwan yang disediakan disediakan di kaunter untuk memberikan haiwan-haiwan ini makan sendiri.

Pantai Tanjung Rhu

Pantai Tanjung Rhu Kedah

Pantai dengan panorama yang mempesonakan, Pantai Tanjung Rhu adalah sebuah destinasi tarikan yang cukup mengujakan untuk dilawati sekiranya anda ingin melapangkan dada dan menikmati bayu laut yang menyegarkan. Di sini, anda sekeluarga boleh melihat pemandangan yang menarik dek kerana kehadiran bot-bot nelayan yang penuh dengan warna-warni. Ada juga sebahagian daripada bot ini yang dijadikan bot pelancong.

Anda juga boleh melihat keindahan ini sambil menikmati hidangan laut yang segar di restoran terapung yang terdapat di sini. Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah memancing ikan laut.

Namun begitu, sekiranya anda merancang untuk ke pantai ini, pastikan anda datang sebelum masuk pukul 6 petang kerana selepas daripada waktu ini, pantai akan ditutup daripada orang ramai dan hanya boleh dilawati oleh penginap di sekitar.

Menara Alor Setar

Menara Alor Setar

Tiada lagi idea yang lebih baik daripada memulakan perjalanan anda di negeri Jelapang Padi ini selain daripada menyinggahi ibu negeri Kedah sendiri, Alor Setar atau kata orang Kedah sendiri, ‘Aloq Staq’. Dah sampai di sini, tempat pertama yang mesti anda lawati adalah Menara Alor Setar.

Bukan di KL sahaja yang ada menara tertinggi ya kerana sebenarnya Menara Alor Setar ini adalah menara telekomunikasi yang ke-2 tertinggi di Malaysia. Menara yang berketinggian 165.5 meter ini menempatkan Restoran Berputar Seri Angkasa di aras yang berketinggian 94 meter, dan dek pemerhatian pada ketinggian 88 meter ataupun 289 kaki.

Kalau anda nak tahu, di sinilah salah satu lokasi yang digunakan untuk melihat anak bulan Islam. Tarikan lain yang terdapat di menara ini adalah panggung yang menjadi tempat pementasan pelbagai jenis pertunjukan kesenian, forum dan lain-lain.

Muzium Padi

Muzium Padi

Terletak di Gunung Keriang, Muzium Padi Kedah ini hanyalah 8.84 km sahaja daripada Menara Alor Setar dan dekat sekali dengan Masjid Zahir, antara masjid tertua di Malaysia, nanti kita cerita tentang masjid ini.

Muzium Padi ini merupakan muzium padi yang ke-4 yang dibuka di dunia selepas Jepun, Jerman dan Filipina. Sebagai makanan ruji masyarakat Malaysia, penting untuk kita tahu apa sebenarnya kisah di sebalik padi ini dari segi sejarahnya dan prosesnya sebelum menjadi nasi di pinggan.

Agak menarik untuk diketahui, balik sahaja dari Muzium Padi ini, mesti anda takkan membazir walau sebiji pun kerana dari sinilah anda terutamanya anak-anak anda akan menyedari bahawa “sebiji nasi ibarat setitik peluh petani,” (macam pernah dengar je kan).

Kalau anda menuju ke tingkat paling atas muzium ini anda dapat melihat galeri lukisan yang mana anda boleh duduk di kerusi yang terletak di tengah, kerusi ini akan membuat putaran 360 darjah secara perlahan untuk anda menikmati lukisan pemandangan sawah padi dan kawasan perkampungan yang terdapat di sekeliling sawah ini yang kelihatan agak realistik.

Pulau Songsong

Pulau Song Song

Pulau Songsong juga merupakan satu lagi pulau yang tidak berpenghuni dan tiada sebarang penginapan atau kemudahan yang disediakan di sini. Tapi sekiranya anda ingin berkhemah di sini, perlulah pastikan semua bekalan anda lengkap dan cukup.

Agak seronok untuk meluangkan masa di sini kerana alam sekitarnya terpelihara dengan baik sekali. Kawasan pantai yang luas di pulau ini turut ditumbuhi dengan pokok-pokok kelapa, belukar kecil dan bunga. Latar belakang pulau ini pula adalah kawasan hutan yang mekar dengan pokok-pokok yang menghijau.

Untuk ke Pulau Songsong terdapat beberapa buah jeti yang menyediakan bot, iaitu dari Jeti Sungai Udang, Jeti Kuala Dulang dan Jeti Tanjung Dawai. Perjalanan ke pulau ini hanyalah dalam 15 minit sahaja, sempatlah anda sekeluarga menikmati deru angin laut yang segar sepanjang perjalanan ke pulau.

Pekan Rabu

Pekan Rabu yang terletak di Ukir Mall ini hanyalah 100 m sahaja dari Menara Alor Setar. Apa lagi, alang-alang singgah saja pekan ni, apa gunanya bercuti tanpa merasa makanan tempatannya.

Di Pekan Rabu inilah anda dapat melihat pelbagai makanan tradisional Melayu dijual seperti kuah rojak, ikan pekasam, dodol durian, garam belacan, malahan, kuih bahulu yang panas-panas pun ada dijual di sini.

Di samping makanan, barangan lain yang turut dijual di sini adalah seperti pakaian, dan ubat-ubatan tradisional. Yang penting, gerai-gerai di sini kebanyakannya mudah untuk anda tawar-menawar.

Balai Besar

Balai Besar

Balai Besar yang memiliki reka bentuk rumah tradisional Melayu yang berbumbung panjang ini telah dibina pada tahun 1896 oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Kerana selepas bangunan asalnya dimusnahkan dalam peperangan dengan angkatan Bugis pada tahun 1770 dan seterusnya Thai pada tahun 1821.

Agak banyak dugaan yang dilalui bangunan ini, namun ia tetap kukuh mengekalkan fungsi utamanya sejak dari awal ia dibina. Fungsinya sebagai tempat untuk menjalankan majlis rasmi Sultan Kedah.

Jangan lepaskan peluang untuk melawati Balai Besar. Kerana anda dapat melihat sendiri kehalusan seni pertukangan kayu masyarakat Melayu yang terukir indah pada bangunan yang dibina menggunakan kayu cengal emas ini.

Air Terjun Batu Hampar

Air Terjun Batu Hampar

Air Terjun Batu Hampar ini agak kurang dikunjungi berbanding dengan Air Terjun Titi Hayun, bukan kerana ia kurang menarik, tetapi sebab ia terletak lebih jauh di dalam hutan di bahagian kaki gunung.

Tapi, kalau anda dapat sampai ke kawasan air terjun ini, ibarat tinggal di pulau peribadilah gayanya, suasana sunyi dan tenang tanpa gangguan. Untunglah kalau anda memiliki stamina yang tinggi, dapatlah merasa pengalaman yang istimewa yang ditawarkan alam penuh kehijauan ini.

Kota Kuala Kedah

Kota Lama Kuala Kedah

Sebuah kota yang menyimpan sejarah yang penting di negeri Kedah, Kota Kuala Kedah ini dibina pada tahun 1771 dan selesai dibina pada tahun 1780.

Binaan kota ini adalah untuk dijadikan benteng pertahanan Kedah daripada ancaman pihak musuh terutamanya Siam yang datang dari arah laut. Kota yang dibina menggunakan kayu bakau, buluh dan tanah liat ini telah direkabentuk oleh Hafiz Sab yang merupakan Datuk Maharaja Kadi pada ketika itu.

Di sini juga terletaknya Muzium Kota Kuala Kedah yang memiliki ruang pameran yang terbahagi kepada enam bahagian. Iaitu bahagian Pengenalan, Sejarah, Fungsi Kota Kuala Kedah, Zaman British, Zaman Jepun dan Zaman Selepas Merdeka.

Kalau anda singgah ke muzium ini anda dapat melihat 60 koleksi artifak arkeologi yang termasuk batu bata asal kota ini. Seramik, 13 buah peluru meriam dan 6 buah meriam yang dihasilkan pihak Inggeris yang sudah berusia lebih daripada 100 tahun.

Sangat banyak yang dapat dilihat di pameran ini, bagi anda yang mencintai sejarah dan ingin memupuk semangat kecintaan kepada sejarah dalam diri anak-anak, datanglah ke sini.

Tree Top Walk Sungai Sedim

Tree Top Walk Sungai Sedim

Terletak di Taman Rekreasi Sungai Sedim adalah Tree Top Walk Sungai Sedim yang merupakan laluan titian gantung yang terpanjang di dunia. Titian gantung yang berkepanjangan 1.5 km ini memang tak sesuai bagi sesiapa yang gayat.

Tapi bagi yang berani, dapatlah anda menikmati pemanadangan flora dan fauna yang indah dari sudut yang tinggi.

Dari titian ini anda dapat melihat burung yang berterbangan di sekitar hutan dengan lebih dekat lagi. Pegang betul-betul kamera anda di atas titian ni, menangis tak berlagu kalau gajet kesayangan anda terjatuh dari titian yang tinggi ni.

Langkawi

Langkawi

Pernah dengar tentang Lagenda Mahsuri? Di Langkawilah asalnya kisah tragis ini. Kisah dimana seorang wanita dibunuh kerana difitnah oleh kakak iparnya sendiri, namun setelah dibunuh, darah yang keluar adalah berwarna putih yang menandakan bahawa Mahsuri tidak bersalah. Benar atau tidak, tidaklah dapat dipastikan.

Mari kita bercerita pula tentang Pulau Langkawi ini yang juga merupakan pulau bebas cukai, bagi yang kaki shopping, tunggu apa lagi?

Bukan itu sahaja yang menarik tentang pulau ini kerana anda juga dapat melihat burung helang yang terbang bebas di pulau ini. Bukan senang nak jumpa kan? Selain itu, anda sekeluarga pasti teruja melihat ketenangan kawasan perkampungan dan sawah padi yang terdapat di sekitar pulau ini.

Apa lagi yang menarik untuk dibuat di sini? Anda boleh menaiki kabel ke puncak Gunung Mat Cincang, dan menaiki bot melalui kawasan paya bakau. Pasti menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan.

Pantai Murni

Pantai Murni Yan Kedah

Tidak jauh dari Pekan Yan terletaknya sebuah pantai yang indah dan cukup lengkap dengan pelbagai kemudahan, Pantai Murni. Di sini anda dapat melihat barisan gerai-gerai makanan yang menjual pelbagai jenis kudapan untuk dimakan sambil bersantai di pesisir pantai yang indah ini.

Selain gerai, anda juga boleh memilih untuk menjamu selera di medan selera, jangan lepaskan peluang mencuba mee udangnya.

Kemudahan lain yang disediakan di Pantai Murni adalah taman permainan, tandas, surau dan kerusi untuk anda bersantai menenangkan fikiran. Dari pantai ini anda dapat melihat keindahan pulau-pulau yang terdapat berdekatan pantai ini seperti Pulau Bunting, Bidan, Telor dan Songsong.

Di samping itu, pada setiap malam Jumaat, Sabtu dan Ahad akan terdapat pasar yang menjual bermacam-macam barangan yang menarik untuk dilihat seperi pakaian bundle, seluar, dan lain-lain lagi.

MnM Whimsical Houses

MnM Whimsical Houses Kedah

Bercuti bersama anak-anak di Kedah? Ini adalah lokasi yang wajib anda lawati bersama keluarga!

Dunia penuh dengan warna-warna dan reka bentuk yang unik, tak ubah seperti masuk ke dalam dunia Alice in the Wonderland. Mana lagi anda boleh jumpa rumah dalam kedudukan terbalik dan ini termasuklah kesemua barangan di sekitar dan di dalamnya.

Ya, ini termasuklah kereta yang di’parking’ di luar rumah Whimsical ni. Bergantung kepada kedudukan gambar yang diambil, anda boleh berposing seolah-olah sedang mengangkat barangan yang ada, terapung di udara atau membuat hand stand.

Selain rumah terbalik, di sini juga terdapat Hobbit House dengan rekaan luaran dan dalaman yang sebiji seperti rumah Hobbit. Rasa macam hidup dalam dunia fantasi.

Bukan itu sahaja, keseluruhan kawasan tarikan ini juga meriah dengan warna-warni, dari bangunannya, tangga hinggalah kepada lantai-lantai yang dipijak. Sebab bonus untuk ke sini? Sambil berjalan-jalan, anda boleh bermain dengan kucing dan arnab comel yang berkeliaran di kawasan sekitar.

Masa yang diambil untuk habis teroka segenap ceruk MnM Whimsical Houses adalah dalam sekitar 1 ke 2 jam, bergantunglah kepada tahap keterujaan anda sekeluarga berposing di sini.

Fantasia AquaPark

Fantasia Waterpark Darulaman Kedah

Rasa macam tak sempurna percutian kalau tak melawat taman tema kan? Lebih-lebih lagi bagi anda yang dah berkeluarga, inilah waktunya untuk anda memberikan memori yang terindah kepada anak-anak.

Di Fantasia AquaPark, anda sekeluarga bukan sahaja dapat bermandi-manda di dalam kolam yang luas. Tapi juga berseronok dengan bermacam permainan air yang disediakan seperti splash pad, gelongsor-gelongsor yang dapat membuat adrenalin badan melonjak dan macam-macam lagi!

Yang bestnya, untuk kesemua keseronokan yang ditawarkan ini, bayaran masuknya tersangatlah murah, kurang daripada RM20 untuk semua peringkat umur.

Gunung Jerai

Gunung Jerai

Gunung Jerai, gunung yang cukup indah ini merupakan satu lagi destinasi yang tidak patut kalau tak singgah semasa di Kedah. Tapi hati-hati semasa memandu mendaki gunung ini kerana jalannya agak sempit.

Setibanya anda di Taman Rimba yang terletak di atas Gunung Jerai ini, anda akan dapat melihat  banyak orkid yang tumbuh di sekitar yang dikumpulkan dari kawasan hutan lain di gunung ini.

Dari sini juga anda dapat menikmati pemandangan yang mengasyikkan kawasan yang lebih rendah seperti perkampungan, sawah padi dan laut biru seluas pemandangan. Jangan lepaskan peluang melihat keindahan matahari terbenam dari gunung ini yang pasti akan membuatkan anda terpesona. Rugi tak datang!

Pantai Merdeka

Tanjung Dawai Kedah

Pantai Merdeka ini terletak bertentangan dengan Pekan Tanjung Dawai dan pemandangan indah Gunung Jerai. Selain menyajikan pemandangan yang indah, di sini juga terdapat banyak kedai-kedai makan yang boleh anda pilih untuk menjamu selera sambil merasai bayu laut. Makanan-makanan yang dijual di sini banyak yang menyelerakan dan rugi kalau tak dicuba seperti mee udang, char kuew teow, laksa, cendol dan banyak lagi.

Memang syok baq hang makan tepi pantai ni, pekena pula dengan air kelapa. Dari Pantai Merdeka juga anda boleh menaiki bot pelancong untuk ke Tanjung Dawai, dekat sini pun anda sekeluarga akan jumpa restoran yang menjual makanan laut yang segar lagi menyelerakan.

Sangat banyak yang ditawarkan di Pantai Merdeka ini, terutamanya dari aspek makanan, tidak hairanlah ramai orang memilih untuk berkelah dan bersantai di sini setiap kali musim cuti. Jadi, anda tunggu apa lagi?

Tasik Darul Aman

Tasik Darul Aman Kedah

Tasik Darul Aman merupakan taman rekreasi yang mana anda boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama ahli keluarga selain berjogging. Iaitu menaiki buggy ride mengelilingi tasik, menaiki bot kayuh, bermain paintball, memberi ikan makan, bermain giant bubble dan banyak lagi.

Pemandangan taman tasik ini cukup indah dengan banyak pokok-pokok getah yang menghiasi kawasan sekitar.

Sumber: Maisinggah.com

Baca Juga: Perkara-perkara Penting Sebelum Pergi Bercuti

Related Posts