36 Tempat Menarik Di Negeri Sembilan | Percutian Sekeluarga

Anda pasti tertarik dengan pemandangan bangunan-bangunan yang unik yang terdapat di sekitar dengan pengaruh Minangkabaunya. Memang tak sah kalau anda tidak menjelajah tempat menarik di Negeri Sembilan ni sambil menikmati kepedasan makanan yang terkenal di Negeri Sembilan ini.

Bukan itu sahaja, lokasinya cukup strategik berdekatan dengan KL dan Selangor. Untuk anda yang datang dari jauh, Seremban, KL dan Selangor semuanya perlu dijadikan destinasi percutian anda, masing-masing menawarkan kepelbagaian yang memeriahkan percutian anda sekeluarga.

Wet World Resort Air Panas Pedas

Kalau bercakap tentang taman tema air yang ada di Malaysia, memang banyak! Tapi berapa banyak taman tema yang menggunakan air panas semula jadi sebagai sumber air? Tarikan yang rare ini boleh anda dapati di Wet World Resort Air Panas Pedas.

Sambil berseronok, anda sekeluarga dapat menyerap segala kebaikan yang ditawarkan air panas yang padat dengan mineral yang mampu memberi kesan positif kepada kesihatan serta menjadi penawar atau meredakan lenguh-lenguh badan, radang sendi (arthritis) dan pelbagai lagi penyakit kulit yang lain.

Yang menariknya, taman tema ini bukan sahaja menyediakan beberapa buah kolam berbeza, tapi juga lengkap dengan gelongsor air yang ‘bersimpang-siur’ untuk memaksimakan keseronokan pengunjung. Tarikan lain yang ditawarkan adalah seperti Reflexology Walk, Kiddie Slide, Lazy River, Wave Pool dan banyak lagi!

Taman Negeri Kenaboi

Mendambakan aktiviti lasak semasa bercuti? Datanglah ke Taman Negeri Kenaboi yang terletak di Jelebu, Negeri Sembilan. Taman Negeri Kenaboi atau nama lamanya Taman Alam Liar, adalah sebuah kawasan hutan simpan yang berkeluasan mencecah hampir 85 000 hektar.

Cukup mesra pengunjung, taman negeri ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan penting seperti tapak perkhemahan yang luas bagi sesiapa yang ingin bermalam, tandas dan juga dewan.

Berdekatan dengan kawasan perkhemahan juga terdapat sebatang sungai iaitu Sungai Kenaboi yang agak cetek serta berarus sederhana laju menjadikan ianya sesuai untuk aktiviti berkayak.

Tarikan lain yang terdapat di dalam taman negeri ini adalah kawasan Air Terjun Lata Kijang yang menjatuhkan air dari ketinggian 80 meter. Sebuah tarikan yang menjanjikan panorama cukup mempesonakan.

Lorong Seni Seremban

Bagaimana lagi cara yang lebih best untuk mempamerkan keunikan negara Malaysia yang pelbagai kaum ini kalau bukan melalui karya seni kreatif kan? Di Lorong Seni Seremban ini anda dapat mencuci mata melihat hasil-hasil lukisan yang melambangkan budaya kaum-kaum yang penuh warna-warni di Malaysia.

Bukan sekadar lukisan biasa, 3D pula tu! Suasana Bandar Seremban yang masih agak klasik ini menambahkan lagi aura hipster di Lorong Seni ini. Bawa kamera, selfie stick, dan apa lagi, berklik-klik non-stop lah di sini dengn pose terhebat anda sekeluarga!

Port Dickson

Hanyalah 1 jam sahaja dari Kuala Lumpur, kawasan ini dahulunya merupakan tempat penghasilan arang sehingga pernah diberikan nama Arang sebelum ditukarkan kepada Port Dickson. Port Dickson rasanya lebih sesuai untuk sebuah kawasan yang dikelilingi dengan pantai-pantai yang indah ni.

Memang rugi kalau tak pernah datang ke sini, sangat banyak aktiviti air yang boleh dilakukan seperti snorkeling, wind surfing, berkayak, ski air dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, rasa nak makan makanan laut fresh? Apa kata kalau anda memancing di sini. Malahan, sekiranya anda suka berlayar, anda boleh mendapatkan keahlian sementara daripada Yacht Club di sini.

Bagi anda yang datang dari Kuala Lumpur, datang sahaja ke Port Dickson kalau anda sekeluarga inginkan percutian yang meriah dengan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan di dalam alam semula jadi.

Batu Maloi Cave

Batu Maloi Cave ini merupakan sebuah gua yang agak mencabar untuk diterokai. Boleh dikatakan 90% waktu anda berada di dalam gua ini, badan anda ditenggelami air sebab ini adalah gua bersungai. Ada yang mencecah paras pinggang dan ada juga hingga ke paras dada.

Kalau anda dan keluarga ingin melakukan aktiviti lasak ini, pastikan anda memiliki kelengkapan yang lengkap seperti headlamp yang kalis air, sarung tangan kerana anda perlu banyak menolak badan dan merangkak di dalam air, stokin, makanan yang dapat memberikan tenaga (energy bar) dan lain-lain lagi yang penting.

Sebelum anda masuk ke Batu Maloi Cave ini, anda perlu mendapatkan tour guide terlebih dahulu, ini bukan gua biasa, ia memberikan anda sekeluarga pengalaman luar biasa. Tak percaya? Cuba dulu.

Rantau Eco Park

Rantau Eco Park merupakan taman yang menawarkan pemandangan alam semula jadi yang indah untuk anda dan keluarga menjalankan aktiviti rekreasi. Antara tarikan utama yang terdapat di sini adalah kolam air yang agak luas dan seronok untuk bermandi-manda yang tersedia untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, di sini juga terdapat zoo mini yang menempatkan pelbagai jenis binatang seperti rusa, ayam, kuda dan banyak lagi.

Anda boleh membeli makanan untuk diberikan kepada haiwan-haiwan di sini. Dah puas melihat haiwan-haiwan comel ni, aktiviti lasak turut disediakan untuk anda lakukan seperti berkayak. Semuanya ada di dalam satu taman.

Taman Orkid Seremban

Taman yang berkeluasan 1.62 hektar, Taman Orkid Seremban ini memang tempat menarik untuk meluangkan masa bersama keluarga sambil melihat pelbagai jenis pokok orkid yang berwarna-warni. Antara orkid yang ditanam di taman ini adalah Black Orchid, Tiger Orchid, Eria Rulchella, Eria Ornata dan banyak lagi, nak tahu apa yang ada, mai datang ramai-ramai.

Selain daripada orkid-orkid yang meriah dengan warnanya ini, anda juga boleh menyejukkan mata dengan menikmati pemandangan pokok yang menghijau yang terdapat di sekeliling taman dan air terjun buatannya.

Taman Tasik Seremban

Salah satu daripada tasik yang paling tua di Malaysia, Taman Tasik Seremban ini dihiasi dengan pohon-pohon tropika yang menghijau dan bunga-bungaan yang tumbuh mekar. Di samping itu, di sini juga terdapat dua buah tasik indah dan wakaf untuk anda bersantai bersama keluarga sambil menikmati pemandangan.

Kalau anda inginkan aktiviti yang mengeluarkan peluh, trek jogging dan taman permainan turut tersedia di taman tasik ini. Tak cukup dengan itu, tarikan unik yang terdapat di sini adalah sebuah pentas terapung yang mana pada setiap minggu kedua dan keempat hari Sabtu akan diadakan Program Hiburan Sekeluarga “Serembang di Seremban”. Datanglah ke sini pada hari-hari itu ya!

Pusat Rekreasi Ulu Bendul

Pusat Rekreasi Ulu Bendul yang terletak di kaki Gunung Angsi ini dapat memberikan anda sekeluarga ketenangan yang tidak akan dapat dilupakan, dengan pepohon rendang yang tumbuh di sekitar pusat rekreasi ini, anda boleh berkelah sambil mendengar bunyi air sungai yang mengalir jernih.

Di samping keindahan yang menenangkan jiwa, anda juga boleh bermandi-manda di kolam besar yang turut dialirkan oleh air sungai, cukup menyegarkan. Sudah puas bersantai di sini, anda boleh mendaki sedikit ke atas bukit dan di sini anda akan menemui Snake Garden yang menempatkan beberapa ekor ular dan unggas.

Yang paling best sekali, di sinilah anda dapat lihat di depan mata sendiri seekor ANACONDA! Agak besar juga. Jangan risau, semuanya diletakkan di dalam tempat yang selamat untuk anda lihat bersama keluarga.

Pusat Borong Nilai 3

Mari, mari, mari! Shopping sakan di Pusat Borong Nilai 3. Di sinilah anda boleh membeli banyak barangan dengan harga borong. Kakak-kakak, mak cik-mak cik, mesti kena datang ke Nilai 3 ni, ada banyak gerai-gerai pakaian borong.

Boleh rambang mata melihat pilihan pakaian yang melimpah ruah dan murah di sini. Bukan setakat pakaian, kalau anda mencari barangan perkahwinan, perabot, hiasan rumah, kraftangan, lampu-lampu hiasan, aksesori kereta dan bermacam lagilah, semuanya ada di sini.

Rembau Crystal

Bukan di Nilai 3 sahaja yang ada barangan hiasan rumah, Rembau Crystal yang terletak di Perkampungan Kristal ini menawarkan pelbagai kraftangan yang diperbuat daripada kristal oleh rakyat Malaysia sendiri.

Anda nakkan apa? Lampu meja? Kelengkapan dapur? Semuanya ada. Memang sukar nak buat pilihan kalau dah dikelilingi dengan kilauan kristal ni. Bukan setakat tempat membeli-belah, di sini juga anda dan keluarga boleh melihat sendiri bagaimana barangan kristal ini dibuat.

Taman Tema Air PRIMALAND

Taman Tema Air PRIMALAND ini terletak di dalam PRIMALAND Port Dickson Resort & Convention Centre. Taman Tema ini tidaklah segempak di Sunway Lagoon tapi tetap menyeronokkan untuk menghabiskan masa cuti bersama keluarga.

Lengkap dengan gelongsor dan tiub spiral, ini pun sebenarnya sudah cukup menggandakan keseronokan anda yang bermandi-manda di sini, turun naik gelongsor terus ke dalam kolam, mana tak bestnya kan? Lagi best kalau tunggu bawah tong air yang besar di sini, sekali air disimbah, memang nikmatlah!

Sungai Timun Fireflies

Anak-anak anda pasti seronok dapat melihat cahaya-cahaya kecil berterbangan di udara ibarat di dalam dunia magika tapi sebenarnya datang daripada kunang-kunang yang terbang bebas di Sungai Timun.

Sungai Timun Fireflies ini dikatakan antara kawasan melihat kunang-kunang yang terbesar di Malaysia. Bukan itu sahaja yang menjadi tarikan Sungai Timun ni, sebab di sini juga anda boleh memancing udang galah.

Kalau malas nak memancing, singgah je kedai-kedai makanan laut yang banyak di sekitar Sungai Timun, banyak makanan laut yang sedap dihidangkan sebagai contoh ikan bakar, lobster dan kupang. Bila waktu dah gelap dan perut dah kenyang barulah anda mula mencari kunang-kunang ni!

Jelita Ostrich Farm

Teringin nak tahu bagaimana rasanya makan telur burung unta yang sedap ni? Anda boleh dapatkannya di sini dengan harga RM80. Bukan setakat makanan, di sini juga anda boleh mendekati burung-burung unta ini untuk bergambar, memberi makan, tengok burung unta berlumba dan nak naik burung unta pun boleh.

Memang sepuas hatilah anda dapat kenal-mengenali burung-burung unta di sini. Tapi anda jangan anggap ladang ini hanya menempatkan burung unta je, sebab ada juga binatang lain seperti itik, kambing, kuda dan bangau.

PD Ostrich Show Farm

Jom naik burung unta di PD Ostrich Farm! Itupun kalau anda bawah 40kglah. Nampaknya, anak-anak jelah yang boleh naik burung unta ni. Tak apa, jangan sedih, banyak lagi aktiviti lain yang sesuai untuk anda, contohnya menunggang kuda, ataupun naik ATV, hebat juga kan?

Bagi anak-anak kecil yang comel, mereka bukan sahaja boleh mendekati dan memberi makan kepada burung-burung unta yang terdapat di sini, sebab ada banyak lagi binatang lain sebenarnya, seperti arnab, keldai dan kambing. Dah puas berseronok, jangan lupa beli barangan yang dibuat daripada burung unta di kedai cenderahati yang terdapat di sini.

Pusat Penetasan Penyu

Sekiranya anda ingin membawa keluarga anda merasai pengalaman indah melihat penyu menetas, bawalah mereka ke Pusat Penetasan Penyu Glory Beach Resort Port Dickson. Jenis penyu yang terdapat di sini adalah penyu karah. Bila dapat tengok puas-puas proses penetasan ni?

Kebiasaannya penyu jenis ini akan menetas dengan banyak dari bulan April ke September, telur yang dihasilkan kebiasaannya dalam 130 biji. Pada sekitar pukul 11 malam setiap hari Sabtu dan Ahad anda akan dapat melihat kecomelan anak-anak penyu yang dilepaskan ke dalam laut untuk mula hidup berdikari.

Walau bagaimanapun, waktu anak-anak penyu ini dilepaskan sebenarnya bergantung kepada pihak resort juga, apa-apapun, dapatkan info daripada pihak resort terlebih dahulu.

Blue Lagoon

Blue Lagoon ini tidaklah selengkap pantai yang lain, tapi masih seronok untuk bersantai di sini sebab ada sahaja beberapa buah pondok yang disediakan untuk anda berteduh sambil makan-makan bersama keluarga.

Jangan lupa bawa makanan sendiri ya. Disebabkan ia tidak selengkap pantai yang lain, anda boleh menikmati pemandangan laut yang menenangkan dengan penuh privasi. Di sinilah nak sembang hati ke hati dengan keluarga tercinta.

Pantai Cahaya Negeri

Air laut yang jernih bak kristal, dan berpasir putih yang terasa agak lembut di tapak kaki. Dapat bayangkan? Pantai Cahaya Negeri ini boleh dikatakan sebagai yang tercantik di PD, walaupun tidaklah semahsyur Pantai Teluk Kemang. Selain itu, di sekitar pantai ini terdapat banyak tempat penginapan yang menarik, bolehlah anda menikmati pemandangan Pantai Cahaya Negeri dari bilik!

Pantai Teluk Kemang

Pantai Teluk Kemang merupakan pantai yang paling terkenal di Port Dickson, ia juga merupakan pantai yang terbesar di sini.

Banyak aktiviti air yang menarik yang boleh dibuat di sini seperti jetski, banana ride, parasail dan buggy. Pantai ini juga lengkap dengan kemudahan-kemudahan seperti laluan pejalan kaki, tandas, gazebo, kedai cenderamata dan gerai-gerai makanan.

Pengkalan Kempas

Terletak dekat sekali dengan sempadan negeri Melaka, sebelum ke Melaka tu jangan lupa singgah ke Pengkalan Kempas. Masuk-masuk sahaja ke Pengkalan Kempas ini anda akan dapat melihat deretan rumah kedai yang dikatakan telah berusia lebih daripada 100 tahun!

Bukan itu sahaja yang menarik di sini, di pekan kecil ini juga menempatkan beberapa tarikan yang mesti disaksikan sendiri seperti makam Sheikh Ahmed Majnun (nak tahu kisah tentang sheikh ini, anda boleh google, banyak sangat versinya), sebuah batu putih yang boleh mengesan penipuan dan batu megalith hidup yang dikatakan semakin membesar dari masa ke masa.

Selain itu, bagi anda yang suka memancing, jangan lupa untuk ke Jeti Pengkalan Kempas, dapat udang galah beberapa ekor boleh kenyang perut!

Teratak Za’Ba

Bangunan dengan reka bentuk klasik yang terdapat di Negeri Sembilan adalah Teratak Za’ba yang dibina dengan menggunakan kayu Cengal.

Walaupun dibina pada zaman moden dan dirasmikan pada tahun 2001, tapi memang betul-betul nampak klasik, tambahan lagi dengan hasil-hasil pertukangan Melayu yang dinampakkan pada sekitar bangunan ini.

Bercakap tentang Teratak Za’ba ni pula, kalau anda nak tahu, Za’ba juga digelar sebagai Pendeta Za’ba, seorang yang dihormati dalam bidang kesusasteraan. Begitu banyak yang telah disumbangkan oleh tokoh ini membuatkan beliau seorang yang penting untuk dikenali oleh generasi muda. Kalau anda melawat Teratak Za’ba ini, anda dapat melihat pameran Bibliografi, Peribadi dan Pakaian beliau.

Selain itu, terdapat juga Sudut Umum yang menempatkan barangan klasik yang wujud waktu kehidupan Za’ba. Jangan buang masa lagi, jom ambil tahu tentang cendekiawan negara! Penuh inspirasi yang diperlukan untuk menjadi seorang yang berilmu seperti beliau.

Pusat Edu-Ecotourism Sungai Menyala

Pusat Edu-Ecotourism Sungai Menyala yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Sungai Menyala adalah sebuah tarikan yang berkeluasan mencecah 1280 hektar.

Tarikan yang dibuka pada tahun 2010 ini merupakan salah satu hutan dipterokarp tanah rendah yang terbesar di daerah ini dan 15% daripadanya adalah kawasan paya bakau yang menambahkan lagi kepelbagaian spesies hutan simpan ini.

Selain menikmati udara segar dan kehijauan di dalam hutan rimba, anda turut boleh melawati bangunan Pusat Edu-Ecotourism. Di sini anda dapat melihat pameran tentang jenis-jenis hutan, daun, pokok dan sebagainya dalam suasana yang cukup moden.

Anda turut boleh memilih untuk menginap di penginapan yang disediakan iaitu sama ada double room, twin room atau dorm dalam harga yang sangat berpatutan. Kemudahan lain yang disediakan adalah dewan taklimat, perpustakaan, dewan makan, surau, basikal dan sebagainya.

Hutan Rekreasi Tanjung Tuan

Hutan Rekreasi Tanjung Tuan yang terletak di Batu 10 adalah sebuah destinasi yang menarik untuk dilawati bagi sesiapa yang ingin memantapkan stamina dengan aktiviti seperti jungle trekking atau hiking.

Untuk anda yang datang bersama keluarga atau tidak yakin untuk menempuhi kawasan hutan, anda boleh juga menggunakan jalan raya yang disediakan untuk menuju ke puncak bukit.

Setibanya di kawasan puncak, anda dapat menikmati keindahan lanskap yang terindah di Negeri Sembilan di mana pemandangan tanpa batasan sekitar Selat Melaka dapat disaksikan,  untuk pengalaman yang lebih mengujakan, datanglah ketika matahari mula terbenam.

Untuk pengetahuan, antara tarikan menarik lain yang terletak di Hutan Rekreasi Tanjung Tuan adalah Rumah Api Tanjung Tuan (Cape Rachado), Laluan Burung dan Pantai Cermin.

Balai Cerap Bukit Kemang (Teluk Kemang Observatory)

Tidak semua orang mampu memiliki teleskop untuk meneroka dunia angkasa lepas yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Namun tidak bermakna ianya sebuah pengalaman yang mustahil untuk dirasai sendiri kerana anda boleh datang ke Balai Cerap Bukit Kemang atau Teluk Kemang Observatory untuk menggunakan teleskop berkuasa tinggi yang disediakan.

Balai Cerap Bukit Kemang ditubuhkan bukan sekadar untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai pengalaman menyaksikan planet-planet yang jauh dari pandangan mata secara live, ia juga berfungsi sebagai sebuah pusat rujukan serta penyelidikan untuk menambahbaik ilmu astronomi.

Nak lebih berjimat? Anda boleh menginap di hotel yang terletak bersebelahan sahaja dengan balai cerap ini untuk mendapat tiket percuma ke sini.

 

Wild West Cowboy InDoor Theme Park

Dalam sesebuah trip percutian, tak lengkap rasanya kalau tak melawat taman tema kan? Lebih-lebih lagi kalau datang bercuti bersama anak-anak. Untuk menjadikan percutian lebih meriah dan menyeronokkan bagi si kecil, apa kata kalau anda ke Wild West Cowboy InDoor Theme Park.

Taman tema ini menampilkan beberapa tarikan berbeza iaitu 5D Motion Adventures, Cowboy Go-Round, Desert Explorer, Rider Boat, Dinasour Escape Room, Mirror Room, Haunted House, Skunk Show, 9D Game dan banyak lagi.

Untuk tarikan 9D Game, anda perlu membayar caj tambahan. Bagi tarikan Skunk Show pula, pertunjukkan hanya diadakan pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.

 

Dickson Dragon Cruise

Nikmati pengalaman indah yang bakal membuat anda jatuh cinta kepada Port Dickson dengan mengikuti Dickson Dragon Cruise. Pelayaran ini akan membawa anda menyelusuri Laut Selat Melaka. Sambil berlayar anda boleh menggunakan pelbagai kemudahan menarik yang disediakan seperti jakuzi yang direndahkan ke bahagian air dan karaoke.

Jangan lupa untuk bersedia dengan kamera yang penuh baterinya sebelum memulakan pelayaran, kerana pemandangan yang mengujakan bakal tiba iaitu ketika waktu mentari terbenam, inilah masanya untuk anda bergambar sepuas hati di atas kapal.

 

S2 Seremban Hill Park

Tercari-cari apa aktiviti yang nak dibuat pada waktu pagi? Anda boleh pertimbangkan untuk berekreasi bersama keluarga di S2 Seremban Hill Park. Taman yang terletak di puncak bukit ini menawarkan 3 buah zon berbeza yang menjadikannya sempurna untuk dilawati oleh pelbagai peringkat usia.

Zon yang pertama adalah kawasan taman permainan kanak-kanak yang padat dengan pelbagai permainan menyeronokkan. Zon kedua pula adalah zon Dinasour yang menempatkan banyak replika Dinasour, bolehlah berangan seolah-olah berada di dalam Jurassic Park. Di zon yang sama juga terdapat kemudahan untuk aktiviti flying fox dan climbing cube.

Zon yang terakhir iaitu zon ketiga adalah kawasan untuk pengunjung menikmati ketenangan dalam suasana yang santai. Zon ini lengkap dengan Picnic Pavilions iaitu kemudahan untuk berkelah serta tempat duduk. Dari sini anda dapat menyaksikan pemandangan memukau 360 darjah sekitar bandar.

Untuk sampai ke taman ini, anda perlu mendaki dalam sekitar 15 minit atau 1 km. Walaupun penat, anda pasti akan berpuas hati setibanya di kawasan taman ini yang dilihat terjaga dengan cukup baik dan lengkap dengan pelbagai fasiliti.

 

Pusat Ikan Hiasan Port Dickson

Pusat Ikan Hiasan Port Dickson adalah sebuah fasiliti pemeliharaan dan akuarium yang diselenggara oleh Jabatan Perikanan Malaysia.Padat dengan informasi, anda dapat melihat pelbagai jenis hidupan marin yang penuh dengan warna-warni. Selain melihat hidupan laut, turut terdapat di sini adalah pusat penternakan penyu.

Jangan lupa juga untuk melihat pertunjukan 3D yang disediakan khas untuk menghiburkan kanak-kanak. Lokasinya, hanyalah 2 minit berjalan kaki dari Pantai Port Dickson, alang-alang dah sampai pantai nanti jangan lupa singgah ya?

 

Cape Rachardo Light House

Dibina pada tahun 1817, Cape Rachardo Light House ataupun Rumah Api Tanjung Tuan adalah sebuah peninggalan klasik yang terletak di dalam daerah Alor Gajah, Melaka. Rumah api ini dipercayai sebagai struktur yang tertua di Malaysia kerana binaan asasnya telah dibina dari abad ke-16 lagi oleh pihak Portugis untuk memudahkan pergerakan kapal di Selat Melaka.

Dari rumah api yang tinggi ini, pengunjung dapat melihat keindahan flora dan fauna yang terbentang luas di depan mata. Dalam masa yang sama juga, sekiranya cuaca mengizinkan, anda dapat melihat sempadan laut Sumatera yang merentasi Selat Melaka.

Menjadi kawasan persinggahan bagi dalam sekitar 300,000 ekor burung (terdiri daripada 54 spesies berbeza) yang bermigrasi pada setiap tahun, ini adalah syurga burung yang tak patut anda lepaskan untuk lawati. Sekiranya memerhati burung adalah misi utama anda, datanglah pada bulan Mac, kerana pada waktu ini burung mula tiba dari pelbagai pelusuk dunia.

Gunung Telapak Buruk & Gunung Berembun

Memang banyak cara menarik untuk menikmati percutian, tapi bagi yang berjiwa lasak, ekspedisi penuh cabaran adalah percutian yang sebenar. Sekiranya ini yang anda inginkan, anda boleh membawa rakan sekepala atau ahli keluarga meneroka hutan belantara di Gunung Telapak Buruk dan Gunung Berembun.

Anda boleh menaiki 4×4 untuk menempuhi laluan yang mencabar untuk menuju ke puncak Gunung Telapak Burung, dari sini, anda boleh memulakan pengembaraan untuk ke puncak Gunung Berembun.

Antara penemuan menarik yang menanti anda sepanjang pendakian ke sana adalah Gua Kambing, Lata Berembun yang berair jernih bak kristal dan juga bangkai pesawat British yang terhempas pada tahun 1945 ketika Perang Dunia Ke-2. Jangan lupa juga untuk memberi perhatian kepada kekayaan flora dan fauna sepanjang perjalanan.

Alive 3D Art GalleryAlive 3D Art Gallery

Tak perlu bersusah-payah membuang masa mencari latar belakang menarik untuk foto percutian anda, sebab kalau anda ke Alive 3D Art Gallery, anda dapat mengakses sehingga 50 buah hasil karya kreatif yang bersedia untuk dijadikan prop atau latar belakang foto. Snaplah gambar sepuas hati! Yang menariknya, sebagai sebuah galeri 3D, hasil-hasil karya di dalam galeri ini kelihatan seolah-olah hidup.

Untuk mendapatkan efek foto yang gempak, anda boleh mengikut arahan gaya posing yang disediakan pada setiap karya 3D di dalam galeri ini. Masa yang diambil untuk selesai bergambar dengan kesemua lukisan di sini adalah dalam sekitar 1 ke 2 jam bergantung kepada tahap keterujaan anda.

Lokasinya, terletak di dalam sebuah bangunan 3 tingkat di Lukut, Port Dickson.

Extreme Park PD

Ingin memeriahkan lagi percutian anda di Negeri Sembilan? Mai luangkan masa di Extreme Park PD. Banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini seperti memanah, go-kart, paintball, ATV dan sebagainya.

Dikelilingi oleh hutan yang mekar kehijauan, anda dapat beraktiviti sambil menghirup oksigen segar dan melihat pemandangan yang menyejukkan mata.

Lokasinya, hanyalah dalam sekitar 3.5 km dari penginapan yang terkenal Lexis Hibiscus Port Dickson dan berhadapan dengan Palm Spring Resort.

Kolam Marine A.R.M

Kolam Marine A.R.M adalah salah sebuah lokasi bermandi-manda yang terkenal dalam kalangan penduduk setempat. Di sini, anda sekeluarga dapat menikmati kesegaran sebenar bermain air di dalam kolam dengan air yang berpunca daripada kawasan gunung berdekatan.

Lebih sebab untuk anda datang ke sini adalah kerana anda dapat bermandi-manda sepuas hati tanpa perlu risau dengan sinaran pancaran matahari kerana dilindungi oleh bumbung. Jadi, mandilah selama mana anda inginkan tanpa perlu risau kulit menjadi gelap.

Di samping itu, Kolam Marine A.R.M turut menyediakan beberapa buah kolam berbeza yang bersesuaian untuk kanak-kanak, bayi dan dewasa. Apa lagi? Datang jangan tak datang!

Rumah Terbalik Port Dickson (Upside Down Art Gallery)

Rumah Terbalik Port Dickson ataupun Upside Down Art Gallery yang terletak di dalam bangunan 2 tingkat. Ini adalah sebuah tarikan yang mampu memberi keseronokan kepada seisi keluarga.

Siapa yang tak seronok bila dapat berposing untuk bergambar dengan latar belakang pelik yang seolah-olah melawan graviti. Kedudukan barangan di sekitar yang terbalik daripada kedudukan sepatutnya ini membolehkan anda berposing seolah-olah berada di angkasa lepas!

Bukan itu sahaja, di dalam galeri yang sama turut terdapat pameran lukisan 3D. Siapa sangka, hanya di dalam sebuah bangunan, bermacam ilusi unik boleh digunakan untuk anda bergambar sambil berseronok.

Agro Park Rantau

Terletak hanyalah 15 minit pemanduan dari bandar Seremban. Agro Park Rantau adalah sebuah kawasan dusun buah-buahan. Yang turut padat dengan pelbagai fasiliti dan tawaran aktiviti menarik untuk dilakukan.

Bagi menikmati segala keseronokan yang ada, anda boleh memilih untuk bermalam di penginapan yang disediakan. Dah puas berehat? Anda sekeluarga boleh membuka langkah untuk melakukan bermacam aktiviti. Seperti memancing, berkayak, menaiki ATV, memerhati burung, memberi makan kepada haiwan seperti rusa dan anak kuda, jungle trekking, explorace dan banyak lagi! Sesaat pun tidak akan merasa bosan.

Hutan Lipur Pasir Panjang

Hutan Lipur Pasir Panjang adalah sebuah kawasan hutan simpan yang terletak di persisiran pantai. Anda boleh melalui trek yang disediakan untuk menuju ke arah pantai yang menjanjikan ketenangan dan udara yang nyaman.

Selain membuka laluan ke kawasan pantai, sebab lain yang menjadikan Hutan Pasir Panjang menarik untuk diterokai. Adalah kerana kekayaannya dengan pelbagai tanaman herba yang banyak digunakan dalam perubatan tradisional.

Di samping itu, hutan ini turut sempurna dengan pelbagai fasiliti. Seperti wakaf istirahat, trek jogging, laluan untuk aktiviti jungle trekking, tandas awam dan sebagainya.

 

Sumber: maisinggah.com

Baca Juga: Tempat Menarik Di Negeri Sembilan | Port Berkelah

Related Posts