Tempat Menarik Di Negeri Sembilan | Port Berkelah

Anda pasti tertarik dengan pemandangan bangunan-bangunan yang unik yang terdapat di sekitar dengan pengaruh Minangkabaunya. Memang tak sah kalau anda tidak menjelajah tempat menarik di Negeri Sembilan ni Lagi-lagi kalau pergi ke kawasan hutan atau air terjun nya sambil menikmati kepedasan makanan yang terkenal di Negeri Sembilan ini.

Bukan itu sahaja, lokasinya cukup strategik berdekatan dengan KL dan Selangor. Untuk anda yang datang dari jauh, Seremban, KL dan Selangor semuanya perlu dijadikan destinasi percutian anda, masing-masing menawarkan kepelbagaian yang memeriahkan percutian anda sekeluarga.

Taman Negeri Kenaboi

Taman Negeri Kenaboi Negeri Sembilan

Mendambakan aktiviti lasak semasa bercuti? Datanglah ke Taman Negeri Kenaboi yang terletak di Jelebu, Negeri Sembilan. Taman Negeri Kenaboi atau nama lamanya Taman Alam Liar, adalah sebuah kawasan hutan simpan yang berkeluasan mencecah hampir 85 000 hektar.

Cukup mesra pengunjung, taman negeri ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan penting seperti tapak perkhemahan yang luas bagi sesiapa yang ingin bermalam, tandas dan juga dewan.

Berdekatan dengan kawasan perkhemahan juga terdapat sebatang sungai iaitu Sungai Kenaboi yang agak cetek serta berarus sederhana laju menjadikan ianya sesuai untuk aktiviti berkayak.

Tarikan lain yang terdapat di dalam taman negeri ini adalah kawasan Air Terjun Lata Kijang yang menjatuhkan air dari ketinggian 80 meter. Sebuah tarikan yang menjanjikan panorama cukup mempesonakan.

Pusat Edu-Ecotourism Sungai Menyala

Pusat Edu Ecotourism Sungai Menyala

Pusat Edu-Ecotourism Sungai Menyala yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Sungai Menyala adalah sebuah tarikan yang berkeluasan mencecah 1280 hektar.

Selain menikmati udara segar dan kehijauan di dalam hutan rimba, anda turut boleh melawati bangunan Pusat Edu-Ecotourism. Di sini anda dapat melihat pameran tentang jenis-jenis hutan, daun, pokok dan sebagainya dalam suasana yang cukup moden.

Anda turut boleh memilih untuk menginap di penginapan yang disediakan iaitu sama ada double room, twin room atau dorm dalam harga yang sangat berpatutan. Kemudahan lain yang disediakan adalah dewan taklimat, perpustakaan, dewan makan, surau, basikal dan sebagainya.

Hutan Rekreasi Tanjung Tuan

Hutan Rekreasi Tanjung Tuan

Hutan Rekreasi Tanjung Tuan yang terletak di Batu 10 adalah sebuah destinasi yang menarik untuk dilawati bagi sesiapa yang ingin memantapkan stamina dengan aktiviti seperti jungle trekking atau hiking.

Untuk anda yang datang bersama keluarga atau tidak yakin untuk menempuhi kawasan hutan, anda boleh juga menggunakan jalan raya yang disediakan untuk menuju ke puncak bukit.

Setibanya di kawasan puncak, anda dapat menikmati keindahan lanskap yang terindah di Negeri Sembilan di mana pemandangan tanpa batasan sekitar Selat Melaka dapat disaksikan,  untuk pengalaman yang lebih mengujakan, datanglah ketika matahari mula terbenam.

Lata Kijang

Lata Kijang Negeri Sembilan

Berketinggian 80 meter, Lata Kijang adalah sebuah kawasan air terjun yang tertinggi di Negeri Sembilan.

Untuk menuju ke sini, anda boleh menggunakan pacuan 4 roda untuk memudahkan anda menempuhi jalan yang berbecak terutama sekali pada hari hujan.

Terletak di dalam Hutan Simpan Kenaboi, terdapat pelbagai lagi aktiviti menarik lain yang boleh anda lakukan selain berfotografi seperti water tubing dan berkayak.

Namun begitu, kawasan air terjun ni agak kurang sesuai untuk dijadikan lokasi bermandi-manda memandangkan kolam yang terbentuk agak sempit dan berbatu.

Jeram Tengkek

Jeram Tengkek Negeri Sembilan

Jeram Tengkek adalah sebuah destinasi terkenal dalam kalangan penduduk setempat sekitar Kuala Pilah, Bahau dan Jempul. Namun, jika dibezakan dengan kawasan air terjun lain, Jeram Tengkek ini tidak begitu meriah seperti mana kawasan air terjun lain di sekitar Negeri Sembilan. Terletak pada ketinggian 350 meter dari paras laut, air yang mengairi jeram ini sungguh jernih dan segar dari sebarang pencemaran.

Sepanjang berada di sini, anda boleh menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan seperti surau, gazebo, meja santai dan tandas.

Lokasinya, terletak hanyalah sekitar 15 minit pemanduan atau 25 km dari Pekan Batu Kikir dan boleh diakses menggunakan jalan yang berturap.

Gunung Telapak Buruk & Gunung Berembun

Gunung Telapak Buruk Negeri Sembilanf

Anda boleh menaiki 4×4 untuk menempuhi laluan yang mencabar untuk menuju ke puncak Gunung Telapak Burung, dari sini, anda boleh memulakan pengembaraan untuk ke puncak Gunung Berembun.

Antara penemuan menarik yang menanti anda sepanjang pendakian ke sana adalah Gua Kambing, Lata Berembun yang berair jernih bak kristal dan juga bangkai pesawat British yang terhempas pada tahun 1945 ketika Perang Dunia Ke-2. Jangan lupa juga untuk memberi perhatian kepada kekayaan flora dan fauna sepanjang perjalanan.

Bukit Batu Putih

Bukit Batu Putih Negeri Sembilan

Bukit Batu Putih adalah destinasi pendakian yang cukup terkenal terutama sekali bila tiba hujung minggu. Untuk mendaki, anda boleh memilih daripada 3 buah trek yang disediakan dan masing-masing memiliki tahap kesusahan yang berbeza daripada mudah, sederhana hinggalah kepada yang betul-betul mencabar.

Bila tiba di puncak bukit, anda dapat melihat pemandangan indah sekitar Selat Melaka sambil menikmati angin yang bertiupan, hilang segala kepenatan. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati pemandangan di saat matahari terbenam, cukup memukau!

Hutan Simpan Gunung Tampin

Hutan Simpan Gunung Tampin

Hutan Simpan Gunung Tampin menempatkan 2 buah puncak gunung yang boleh anda takluki untuk menikmati kesegaran udara dan keindahan panorama yang disajikan iaitu puncak Gunung Tampin Utara dan puncak Gunung Tampin Selatan.

Di dalam hutan ini turut tersedia trek yang menghubungkan beberapa buah gunung berbeza seperti Gunung Datuk, Gunung Gagak dan Gunung Rembau.

Antara kemudahan yang disediakan di hutan simpan ini adalah seperti kolam mandian, tapak perkhemahan dan tempat meletak kereta.

Agro Park Rantau

Agro Park Rantau Negeri Sembilan

Terletak hanyalah 15 minit pemanduan dari bandar Seremban, Agro Park Rantau adalah sebuah kawasan dusun buah-buahan yang turut padat dengan pelbagai fasiliti dan tawaran aktiviti menarik untuk dilakukan.

Bagi menikmati segala keseronokan yang ada, anda boleh memilih untuk bermalam di penginapan yang disediakan. Dah puas berehat? Anda sekeluarga boleh membuka langkah untuk melakukan bermacam aktiviti seperti memancing, berkayak, menaiki ATV, memerhati burung, memberi makan kepada haiwan seperti rusa dan anak kuda, jungle trekking, explorace dan banyak lagi! Sesaat pun tidak akan merasa bosan.

Hutan Lipur Pasir Panjang

Hutan Lipur Pasir Panjang Negeri Sembilan

Hutan Lipur Pasir Panjang adalah sebuah kawasan hutan simpan yang terletak di persisiran pantai. Di dalam hutan ini, anda boleh melalui trek yang disediakan untuk menuju ke arah pantai yang menjanjikan ketenangan dan udara yang nyaman.

Selain membuka laluan ke kawasan pantai, sebab lain yang menjadikan Hutan Pasir Panjang menarik untuk diterokai adalah kerana kekayaannya dengan pelbagai tanaman herba yang banyak digunakan dalam perubatan tradisional.

Hutan ini turut sempurna dengan pelbagai fasiliti seperti wakaf istirahat, trek jogging, laluan untuk aktiviti jungle trekking, tandas awam dan sebagainya.

Pulau Burung

Pulau Burung Seremban

Berdekatan dengan Pantai Cahaya Negeri, Pulau Burung ini sangat menarik untuk anda menikmati alam semula jadi hutan dengan pokok-pokok paya bakau yang tumbuh di sekitar pulau kecil ini.

Untuk ke sini, anda boleh menggunakan platform jalan kaki yang disediakan dari pesisir pantai PD hingga ke Pulau Burung. Jangan lupa bawa peralatan memancing sekali sebab pulau ini juga tempat yang sesuai untuk aktiviti ini.

Pantai Saujana

Pantai Saujana Negeri Sembilan

Dekat sahaja dengan Bandar Tentera Darat. Pantai Saujana merupakan pantai yang berkepanjangan 1km, dari pantai ini anda sekeluarga boleh berjalan kaki terus ke Pantai Cahaya Negeri, syok berjalan-jalan menghirup udara segar sekitar pantai sambil bersembang bersama keluarga mengenai rancangan percutian akan datang.

Apa lagi yang menarik di Pantai Saujana ni? Kalau anda datang pada malam Ahad, bolehlah anda membeli-belah di pasar malam yang agak meriah di sini. Nak makan pula? Kedai makan memang banyak berdekatan pantai ini, dari masakan Melayu hinggalah Western, tepuk dada, tanya selera.

Jeram Toi

Jeram Toi

Jeram Toi telah diterokai oleh British pada tahun 1895 dan sejak itu ia menjadi sebuah lokasi tarikan ramai untuk berkelah dan bermandi-manda. Air jernih yang mengalir di sungai ini dan kawasan sekitarnya yang terjaga dengan baik menjadikan ia pilihan ramai orang pada hari cuti.

Selain itu, Jeram Toi turut memiliki dua buah kolam semula jadi, oleh itu, banyaklah pilihan untuk anda sekeluarga berseronok. Bukan itu je, keseronokan bermandian di sini berganda-ganda jadinya kerana terdapat beberapa gelongsor air yang diletakkan di kolam. Di samping ini semua, kemudahan BBQ turut disediakan. Cukup sempurna untuk dijadikan tempat bersantai bersama keluarga.

Pantai Teluk Kemang

Pantai Teluk Kemang

Pantai Teluk Kemang merupakan pantai yang paling terkenal di Port Dickson, ia juga merupakan pantai yang terbesar di sini.

Banyak aktiviti air yang menarik yang boleh dibuat di sini seperti jetski, banana ride, parasail dan buggy. Pantai ini juga lengkap dengan kemudahan-kemudahan seperti laluan pejalan kaki, tandas, gazebo, kedai cenderamata dan gerai-gerai makanan.

Pantai Cahaya Negeri

Pantai Cahaya Negeri

Air laut yang jernih bak kristal, dan berpasir putih yang terasa agak lembut di tapak kaki. Dapat bayangkan? Pantai Cahaya Negeri ini boleh dikatakan sebagai yang tercantik di PD, walaupun tidaklah semahsyur Pantai Teluk Kemang. Selain itu, di sekitar pantai ini terdapat banyak tempat penginapan yang menarik, bolehlah anda menikmati pemandangan Pantai Cahaya Negeri dari bilik!

Blue Lagoon

Blue Lagoon Seremban

Blue Lagoon ini tidaklah selengkap pantai yang lain, tapi masih seronok untuk bersantai di sini sebab ada sahaja beberapa buah pondok yang disediakan untuk anda berteduh sambil makan-makan bersama keluarga.

Jangan lupa bawa makanan sendiri ya. Disebabkan ia tidak selengkap pantai yang lain, anda boleh menikmati pemandangan laut yang menenangkan dengan penuh privasi. Di sinilah nak sembang hati ke hati dengan keluarga tercinta.

Pantai Bagan Pinang

Pantai Bagan Pinang Seremban

Pantai Bagan Pinang ini agak meriah sebab ia adalah sebuah pantai yang lapang dan berpasir bersih. Memang bestlah nak jadikan tempat berkelah.

Selain daripada berkelah, anda boleh berseronok bersama keluarga sambil bermain layang-layang sebab ada beberapa gerai yang menjual layang-layang penuh warna-warni di sekitar pantai. Kalau dah penat berseronok di sini, singgah sahaja ke gerai-gerai dan trak makanan yang dibuka untuk anda mengisi perut yang lapar.

Pantai Tanjung Gemok

Pantai Tanjung Gemok Seremban

Sebuah pantai yang tenang, bersih dan selamat untuk bermandi-manda. Kalau anda datang ke sini untuk berkelah, tempat paling best adalah di bawah pokok besar yang terdapat di sini. Dapatlah anda bumbung semula jadi melindungi anda daripada panahan matahari.

Kalau dah puas berkelah itu, aktiviti lain yang boleh dibuat di sini adalah menaiki tour boat. Di samping itu, untuk pengetahuan anda, Tanjung Gemuk juga merupakan tempat penetasan penyu, bukan Terengganu je yang ada. Kalau anda bernasib baik, dapatlah anda tengok penyu-penyu menetas telur di sini.

Pulau Arang

Pulau Arang Seremban

Pulau yang terletak di hadapan PD Waterfront ini kecil sahaja. Belum lagi dikomersialkan, namun  begitu, dijangka pada tahun 2020 akan disediakan kereta kabel untuk anda yang ingin ke Pulau Arang. Sambil menikmati pemandangan indah merentasi air laut dari PD Waterfront, jangan lupa, tahun 2020 nanti datanglah ke sini ya!

Sungai Timun Fireflies

Sungai Timun Fireflies

Anak-anak anda pasti seronok dapat melihat cahaya-cahaya kecil berterbangan di udara. Ibarat di dalam dunia magika tapi sebenarnya datang daripada kunang-kunang yang terbang bebas di Sungai Timun.

Sungai Timun Fireflies ini dikatakan antara kawasan melihat kunang-kunang yang terbesar di Malaysia. Bukan itu sahaja yang menjadi tarikan Sungai Timun ni, sebab di sini juga anda boleh memancing udang galah.

Pusat Rekreasi Ulu Bendul

Pusat Rekreasi Ulu Bendul

Pusat Rekreasi Ulu Bendul yang terletak di kaki Gunung Angsi ini dapat memberikan anda sekeluarga ketenangan yang tidak akan dapat dilupakan. Dengan pepohon rendang yang tumbuh di sekitar pusat rekreasi ini, anda boleh berkelah sambil mendengar bunyi air sungai yang mengalir jernih.

Di samping keindahan yang menenangkan jiwa, anda juga boleh bermandi-manda di kolam besar yang turut dialirkan oleh air sungai, cukup menyegarkan. Sudah puas bersantai di sini, anda boleh mendaki sedikit ke atas bukit dan di sini anda akan menemui Snake Garden yang menempatkan beberapa ekor ular dan unggas.

Yang paling best sekali, di sinilah anda dapat lihat di depan mata sendiri seekor ANACONDA! Agak besar juga. Jangan risau, semuanya diletakkan di dalam tempat yang selamat untuk anda lihat bersama keluarga.

Jeram Gading

Jeram Gading

Yang menjadikan Jeram Gading ini sebuah lokasi yang unik adalah kerana terdapat dua buah jambatan gantung yang menyambung dua tebing sungai.

Dinamakan Jeram Gading kerana alkisahnya pada dahulu kala gajah banyak ditemui di sekitar kawasan ini. Jangan risau, kerana itu berlaku pada zaman dahulu, sekarang ia selamat sahaja untuk dijadikan tempat berekreasi bersama keluarga.

Nak berkelah di sini memang sangat menenangkan, dengan kehijauan kawasan hutan di sekitar sungai, menyejukkan mata yang memandang. Kalau anda nak menikmati keindahan Jeram Gading lebih lama lagi, anda sekeluarga boleh menginap di resort yang terdapat di sini.

Gunung Angsi

Gunung Angsi Seremban

Ada dua jalan yang boleh digunakan untuk menakluki Gunung Angsi ini, yang pertama adalah melalu trek Hutan Lipur Ulu Bendul dan yang kedua adalah melalui trek Bukit Putus.

Kalau anda nak yang lebih mencabar kerana perjalanan lebih jauh, anda boleh menggunakan trek Ulu Bendul, sekiranya anda menggunakan trek Bukit Putus pula, kurang 1 – 1.5 km perjalanan kalau dibezakan dengan Ulu Bendul.

Sampai ke punca Gunung Angsi yang menyajikan anda dengan panorama indah banjaran-banjaran gunung yang menyejukkan pandangan mata.

Batu Maloi Cave

Gua Batu Maloi

Batu Maloi Cave ini merupakan sebuah gua yang agak mencabar untuk diterokai. Boleh dikatakan 90% waktu anda berada di dalam gua ini, badan anda ditenggelami air sebab ini adalah gua bersungai. Ada yang mencecah paras pinggang dan ada juga hingga ke paras dada.

Kalau anda dan keluarga ingin melakukan aktiviti lasak ini, pastikan anda memiliki kelengkapan yang lengkap seperti headlamp yang kalis air, sarung tangan. Kerana anda perlu banyak menolak badan dan merangkak di dalam air, stokin, makanan yang dapat memberikan tenaga (energy bar) dan lain-lain lagi yang penting.

Sebelum anda masuk ke Batu Maloi Cave ini, anda perlu mendapatkan tour guide terlebih dahulu. Ini bukan gua biasa, ia memberikan anda sekeluarga pengalaman luar biasa. Tak percaya? Cuba dulu.

Hutan Simpan Sungai Menyala

Hutan-Simpan-Sungai-Menyala

Dengan keluasan 1,305 hektar, Hutan Simpan Sungai Menyala merupakan Hutan Dipterokarp Tanah Pamah yang terbesar di Asia Tenggara. Hutan Simpan Sungai Menyala ini bukan hutan biasa, tapi ia adalah sebuah hutan dara. Kerana tak pernah sama sekali dinodai dengan pembalakan, penerokaan atau lain-lain lagi. Maknanya, hutan simpan ini memang seronok untuk diredahi, kekayaan flora dan faunanya bakal mengasyikkan jiwa anda sekeluarga.

Lokasinya pula hanyalah 12 km sahaja dari Bandar Port Dickson. Sampai sahaja ke Port Dickson tu, jangan lupa untuk menjadikan meredah Hutan Simpan Sungai Menyala sebagai salah satu aktiviti percutian anda!

Gunung Datuk

Gunung Datuk Seremban

Gunung yang berketinggian 2900 kaki ini. Gunung Datuk adalah gunung yang ke-220 tertinggi daripada 300 buah gunung yang terdapat di Malaysia. Gunung Datuk juga lebih tinggi daripada gunung lain yang terletak di Negeri Sembilan ini iaitu Gunung Angsi.

Bayangkanlah pemandangan yang dapat dinikmati sebaik sampai ke puncak Gunung Datuk. Mesti lagi memukau, dengan udara yang lebih segar, di puncak yang lebih tinggi.

Alang-alang dah penat mendaki jauh ke puncak Gunung Datuk, pastikan anda turut membawa peralatan berkhemah. Dapatlah melihat pemandangan matahari naik pula bangun tidur nanti.

Sumber: maisinggah.com

Baca Juga: Baru Masuk Hutan? Tips Kepada Newbies Nak Belajar Berkhemah Di Dalam Hutan.

Related Posts