Selangor, memang tak asing dalam Malaysia kita. Terletak di tengah Semenanjung Malaysia dan mengelilingi kota metropolitan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Betapa strategik sekali lokasi negeri ini, menjadikan ia sangat menarik dan kaya dengan pelbagai pusat pelancongan untuk dilawati. Jom kita lihat tempat menarik yang ada di Selangor ini.
1. Ostrich Wonderland Semenyih
Ostrich Wonderland Semenyih bukan setakat ada burung unta ya. Tapi juga banyak lagi haiwan lain seperti ayam, angsa, keldai, ayam belanda, arnab dan sebagainya. Semasa berada di sini, anda boleh mendengar penjelasan ringkas tentang burung unta dan juga dibawa mengunjungi pusat inkubasi telur burung unta.
Dah puas menghadam pelbagai info menarik dan melihat semua haiwan yang ada? Sebelum pulang jangan lupa untuk membeli daging frozen dan juga telur ayam atau burung unta yang dijual di sini. Bukan itu sahaja, buah-buahan dan susu kambing yang segar dari ladang juga turut ditawarkan.
2. Sawah Padi Sekinchan
Salah satu lokasi yang boleh anda teroka bersama keluarga, Sawah Padi Sekinchan. Disini anda boleh mencuci mata melihat pemandangan yang luas dan juga untuk bergambar dengan sepuas hati. Waktu yang terbaik untuk melihat suasana di kawasan sawah padi ini adalah dalam sekitar bulan April atau November ketika padi sudah mula menguning. Pemandangan pada waktu ini cukup indah kerana warnanya yang keemasan.
3. Mah Meri Cultural Village (Pulau Carey)
Mesti ramai yang tak tahu bahawa di Selangor pun ada pulaunya. Pulau Carey, Selangor ini terdiri daripada sekumpulan masyarakat asli yang digelar Mah Meri.
Nak tahu lebih banyak tentang masyarakat asli ni? Anda boleh meneruskan perjalanan ke Mah Meri Cultural Village. Tapi untuk pengalaman yang lebih menarik, waktu terbaik untuk ke sini adalah sekitar bulan Mac ke April setiap tahun untuk melihat sambutan Hari Moyang, ketika musim perkahwinan atau Puja Pantai.
4. Bukit Broga
Juga turut dikenali sebagai Bukit Lalang memiliki ketinggian sehingga 400 meter ataupun mencecah sehingga 1,300 kaki. Pendakian ke puncak bukit ini dapat memberikan anda panorama indah kawasan sekitar. Untuk pengetahuan anda, Bukit Broga memiliki 3 buah puncak.
Puncak yang pertama menawarkan pemandangan sehingga ke Menara KL sekiranya tidak dihalangi oleh cuaca.
Puncak yang kedua pula membolehkan anda menikmati pemandangan matahari terbit yang cukup mempesonakan, untuk tujuan ini, mulakanlah pendakian seawal yang mungkin supaya tak terlepas ya.
Puncak yang terakhir sekali, anda dapat menikmati pemandangan yang sungguh mengujakan dari puncak yang tertinggi.
5. Pantai Morib
Terletak di Kuala Langat, Pantai Morib merupakan sebuah pantai yang tenang dan memiliki kawasan rumput yang agak luas untuk dijadikan tempat bersantai bersama keluarga.
Lokasinya yang tidak jauh dari bandaraya menjadikan ia destinasi tarikan untuk warga kota yang ingin menenangkan fikiran sambil menghirup udara segar yang menderu-menderu di Pantai Morib.
6. SnoWalk i-City
SnoWalk i-City yang terletak di Shah Alam ini merupakan sajli indoor yang pertama di Malaysia. Suhu di dalam SnoWalk i-City ini dikawal untuk sentiasa berada di bawah 5 darjah celsius.
Yang menariknya lagi, terdapat lapisan salji dengan ketebalan 100 mm di lantai, kalau terasa cuaca di luar terlalu panas, datang ke sini, kalah penyejuk udara di rumah. Pasti menyesal kalau datang dengan slipper, menggigil anda sekeluarga dalam ni nanti. Maka, pakailah kasut yang sesuai dengan musim ya.
7. Pantai Bagan Lalang
Pantai Bagan Lalang ini tidak kurang menariknya daripada Pantai Morib yang lebih terkenal. Pantai ini cukup lengkap dengan fasiliti penting dan ia sesuai untuk anda datang bersama keluarga di hujung minggu untuk meluangkan masa dengan aktiviti yang menyeronokkan seperti ber’bbq’, berkelah, bermain pasir, bermain layang-layang, dan bermacam lagilah.
Agak banyak permainan menarik yang anda boleh main di sini sebab Pantai Bagan Lalang ini memiliki kawasan yang agak luas dan lapang.
8. Paya Indah Wetlands
Paya Indah Wetlands merupakan kawasan tanah lembab buatan manusia yang terhasil selepas dijadikan kawasan perlombongan bijih timah. Penggalian tanah dari perlombongan ini menghasilkan tasik yang kini menjadi habitat bagi pelbagai jenis ikan, tumbuh-tumbuhan seperti teratai dan juga haiwan seperti badak air dan buaya.
Kalau anda ke sini, anda dapat melakukan beberapa aktiviti menarik seperti menikmati pemandangan daripada menara pemerhati yang memberikan anda pemandangan 360 darjah kawasan sekitar.
9. Kepong Metropolitan Park
Taman Metropolitan Kepong ini terkenal dalam kalangan penduduk tempatan dengan aktiviti bermain layang-layang dan juga berjogging.
Taman yang berkeluasan 95 hektar ini turut lengkap dengan kemudahan lain seperti trek basikal, padang bola sepak, menara pemerhatian, trek kereta kawalan, pondok-pondok santai dan taman permainan. Bagi anda yang kaki memancing pula, anda dibenarkan memancing di tasik seluas 57 hektar di taman ini.
10. Kuala Selangor Fireflies
Kalau anda datang ke sini, di Sungai Selangor anda boleh menaiki bot untuk melihat banyak kelip-kelip yang terbang bebas yang mengeluarkan cahaya semulajadi, mengalahkan keindahan chandelier di dalam kapal Titanic. Tiada apa yang dapat menandingi keindahan alam semulajadi.
11. Kota Damansara Community Forest Park
Taman Rimba Komuniti Kota Damansara memberikan ruang nafas kepada warga kota yang ingin lari dari hiruk-pikuk kota metropolitan. Di sini anda dapat menikmati kekayaan flora dan fauna yang indah dan sangat mengujakan.
Untuk kemudahan anda yang ingin menerokai taman rimba ini, disediakan denai-denai atau laluan untuk pengunjung menikmati tanpa perlu mengerut dahi takut tersesat dalam hutan yang kelihatan sama sahaja daripada pelbagai sudut.
12. Pantai Remis
Pantai Remis merupakan sebuah pantai yang indah dan sering menjadi tarikan ramai penduduk tempatan yang ingin berkelah pada musim cuti sekolah dan hujung minggu. Namun, kalau anda ingin berenang-renang, air di pantai ini agak tidak sesuai kerana ia ditambak oleh batu-batu besar.
Bukan itu sahaja, kalau anda ingin berseronok di pantai ini dengan lebih lama lagi, anda sekeluarga boleh menginap di penginapan kabin yang terdapat di sini yang lengkap dengan tempat untuk berBBQ dan kolam renang.
13. Taman Rimba Kiara
Taman Rimba Kiara boleh dikatakan sebagai salah satu daripada taman penuh kehijauan yang sangat indah yang terdapat di Kuala Lumpur.
Di sini terdapat lebih daripada 40 spesis burung yang kebanyakannya merupakan spesis-spesis burung yang dilindungi sepenuhnya seperti burung enggang dan burung helang-kembara merah.
14. FRIM
FRIM, nak lagi best, datang awal-awal lagi di waktu daun-daun berembun dan udara sangat segar, barulah terasa berbaloi dah datang dari jauh. Untuk anda yang terasa badan agak berat, apa kata kalau berjogging sambil mendaki bukit di FRIM ni.
Pemandangan pun sangat mengujakan. Di FRIM ini bukan setakat hutan rimba, anda juga boleh bermandi-manda atau berkelah di air terjun indah yang terdapat di sini. Sambil berkelah tu, pejamkan mata anda dan tenangkan fikiran sambil mendengar kicauan burung yang berterbangan.
Bukan itu sahaja, anda boleh juga mengajak keluarga anda melawat Taman Botani Kepong yang juga terletak di FRIM ini. Taman Botani ini menawarkan lanskap yang indah, sesuai untuk anda bergambar bersama keluarga.
15. Gua Damai Xtreme Park
Bertempat di bahagian utara Batu Caves, Gua Damai Xtreme Park merupakan destinasi pilihan bagi ramai peminat aktiviti lasak memanjat dinding ataupun wall climbing. Terdapat lebih daripada 70 ruang memanjat.
Ativiti lasak di sini bukan sahaja boleh dilakukan pada siang hari, kerana ia turut dilengkapi dengan spotlight untuk mereka yang ingin melakukan aktiviti wall climbing pada waktu malam.
Sumber: maisinggah.com
Untuk anda yang duduk di sekitar Selangor, anda pasti yang anda dah melawat semua tempat menarik di sini? Bagi yang datang dari jauh pula, tunggu apa lagi, rancanglah percutian anda ke sini, ternyata banyak tempat menarik di Selangor.
Sejujurnya anda patut meluangkan masa lebih daripada sehari di Selangor ini, sangat banyak tempat untuk dilawati. Bukan itu sahaja, dah puas makan angin di Selangor, anda boleh sahaja singgah ke Kuala Lumpur yang turut memiliki banyak tempat menarik untuk dilawati, dekat pula dengan Selangor, dah alang-alangkan?
Baca Juga: Bercuti dengan anak kecil? Ini beberapa tips yang perlu dilakukan oleh IbuBapa