Tempat Menarik Di Kundasang Sabah

Bagi yang masih tidak biasa dengan tempat-tempat di Sabah, Kundasang lagi-lagi tempat menarik ni hanya 6km dari Taman Negara Kinabalu di mana terletaknya Gunung Kinabalu, di daerah Ranau, Sabah.  Kundasang merupakan kawasan tanah tinggi, kira-kira 1.9km tinggi dari paras laut. Iklim di sini sejuk dan dengan pemandangan serba hijau di sekeliling kawasan pegunungan, memang akan membuatkan anda berasa seperti di luar negara. Oleh itu, memang tak pelik la ada banyak tempat menarik di Kundasang ni ye.

Terdapat pelbagai homestay, guesthouse, lodges dan cabin yang unik di sekitar kawasan ini. Perjalanan dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu ke Kundasang akan mengambil masa lebih kurang 2 jam dengan jarak 95km. Jadi, untuk persiapan anda ke Kundasang, jangan lupa untuk buat tempahan sewa kereta awal-awal tau! Untuk kemudahan anda mempersiapkan itinerary percutian anda di Kundasang, jom kita lihat senarai tempat menarik di Kundasang untuk anda lawat nanti.

Desa Cattle Dairy Farm

Ya, inilah tempat yang anda cari-cari, yang buatkan anda nak datang ke Kundasang. Dengan pemandangan lembu-lembu susu di padang rumput nan menghijau, Gunung Kinabalu serba gah, inilah dia tempat yang anda fikirkan merupakan New Zealand. Desa Dairy Cattle Farm, sebuah ladang ternakan tenusu  ni terletak 100 km dari bandar Kota Kinabalu.

Di sini, anda boleh melihat lembu-lembu susu baka Holstein Friesian meragut rumput di padang rumput. Bukan itu sahaja, anda boleh melawat kilang memproses susu dalam 0.5km dari ladang ini. Proses memerah susu dilakukan setiap hari dari jam 2.30 petang hingga 4.30 petang dan waktu memproses susu mentah dilakukan pada hari Selasa, Khamis dan Ahad pada jam 10 pagi hingga 3 petang.

Anda juga boleh memberi makan rumput dan susu kepada anak-anak lembu dan kambing di kandang khas mereka dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Terdapat kiosk cenderamata untuk anda membeli t-shirt, poskad  dan produk tenusu seperti susu, aiskrim, yogurt dan puding. Cheese mozarella dan ricotta pun ada dijual tau!

Kampong Arnab Kundasang

Image result for kampung arnab kundasang

Kampung Arnab Kundasang ini terletak di antara Kundasang dan Ranau. Jika anda memandu dari bandar Kota Kinabalu, perjalanan anda akan mengambil masa dalam 2 jam 20 minit dengan jarak lebih kurang 103km. Untuk anda yang bergerak dari Pekan Ranau pula, Kampung Arnab ini hanya 10 minit sahaja dari Ranau.

Bila dah sampai nanti, bersedialah untuk melihat banyak arnab-arnab comel melompat-lompat di pekarangan kampung ini.  Mereka sangat jinak dan ada yang akan datang mendekati anda untuk mendapatkan makanan. Antara baka arnab yang ada di sini adalah baka dari spesis Satin, Rex, Netherland Dwarf, Holland Loop, New Zealand, Lionhead dan Anggora.  Anda boleh memberi makan dan  bergambar bersama arnab-arnab ini. Di sini juga terdapat kedai cenderamata untuk anda beli ole-ole khas dari Kampung Arnab.

Mesilou Highland Strawberry Farm

Related image

Mesilou Highland Stawberry Farm ini terletak di Kampung Mesilou, Kundasang. Strawberi di sini manis-manis belaka dan terdiri daripada variasi seolhyan dari Korea, sweet charlie dari Jepun dan jive dari Holland.

Jika anda mahu ke sini, anda dinasihatkan untuk menghubungi ladang ini terlebih dahulu untuk memastikan ada strawberry yang boleh dipetik. Ladang ini juga akan ditutup secara berkala untuk memberi ruang kepada proses penanaman dan penambahbaikan ladang.

Di sini, anda boleh memetik buah strawberi dan makan strawberi-strawberi segar bersama chocolate fountain yang disediakan di sini. Selain dari strawberi, pengunjung boleh melihat tanaman sayuran lain seperti lobak putih. Terdapat sungai di kawasan ladang ini dan pengunjung boleh bermandi-manda di sini. Akhir sekali, sebelum pulang, jangan lupa ambil gambar di tugu replika strawberi yang menyambut pengunjung ladang ini.

Ladang Teh Sabah

Image result for sabah tea

Ladang Teh Sabah terletak di kaki Gunung Kinabalu. Ladang ini adalah satu-satunya ladang teh organik di Borneo dan bebas dari racun kimia. Dengan kesuburan tanah, iklim cuaca tanah tinggi yang sesuai dan kawasannya dikelilingi hutan semula jadi, teh-teh yang dihasilkan adalah antara yang paling berkualiti tinggi.

Lawatan anda di sini akan dipenuhi dengan aktiviti melihat bagaimana daun teh dipetik dan kemudiannya bagaimana daun-daun teh akan diproses. Selain daripada ladang teh yang serba luas di sini, anda boleh juga melawat kilang memproses teh yang ada di sini. Anda juga boleh mencuba teh-teh di kafe di kawasan ladang ini.

Jambatan Gantung Tamparuli

Jambatan Tamparuli di Tamparuli sangat terkenal di negeri Sabah. Siap ada lagu khas untuk jambatan ni tau! Untuk pengetahuan anda, Tamparuli adalah pekan kecil di mana majority penduduk di sini adalah dari suku kaum Dusun dan komuniti kaum Cina. Jambatan Tamparuli ni telah ada sejak sekian lama. Asalnya sebagai jambatan gantung merentasi Sungai Tamparuli, memang siapa yang menggunakan jambatan ini akan merasa gayat bila jambatan ini berayun-ayun.

Rumah Terbalik Tamparuli

Image result for rumah terbalik tamparuli

Sejak dari penubuhannya pada tahun 2012, ramai pengunjung dari Sabah dan pelbagai negeri dan negara telah datang ke sini. Iyalah, siapa tak pelik dan mahu lihat dengan lebih dekat lagi rumah-rumah yang dibina secara terbalik di sini. Lantai jadi siling, siling jadi lantai.Eh? Hahaha. Sampaikan kereta pun diparkir secara terbalik di garaj.

Anda sekeluarga, terutamanya anak-anak anda memang tak akan bosan bila melihat rumah-rumah di sini. Anda boleh ambil gambar sepuas hati. Dan kalau anda mahu suatu yang lebih seronok, datanglah ke 3D Wonders Museum di kawasan Rumah Terbalik ni.  Istimewanya muzium ini, anda boleh berseronok melihat pelbagai jenis ilusi 3D sambil belajar tentang pentingnya kita memelihari alam persekitaran semulajadi dan sumber-sumber alam yang telah dianugerahkan pada kita.

Anda juga boleh tempah beberapa jenis tour yang disediakan. Terdapat tour berkenderaan, kampung budaya yang menempatkan rumah-rumah tradisional etnik di Sabah dan sesi kelas memasak masakan tradisional etnik Sabah.

Tandem Paragliding Ranau

Image result for tandem paragliding kundasang ranau

Mahu cuba suatu yang sedikit ekstrim ketika di Kundasang? Anda harus cuba tandem paragliding! Dapatkan pengalaman terbang di langit tinggi sambil menikmati pemandangan Gunung KInabalu, sawah padi dan perkampungan di kawasan sekeliling di Ranau.

Jika anda menaiki kenderaan 4wd ketika di Kundasang, anda boleh pandu terus ke tempat berlepas. Jika tidak, anda boleh ke Kompleks Sukan Ranau dan team paragliding akan ambil anda dengan kenderaan mereka ke take off point.

Tapi, anda perlu tempah perkhidmatan ni awal-awal tau, dengan tempoh minimum 5 hari. Dan ianya bergantung juga dengan cuaca pada hari tersebut. Tapi pada kebiasaannya, cuaca di Ranau memang sesuai untuk aktiviti ini dilakukan sepanjang tahun.

Kolam Air Panas Poring

Related image

Kolam Air Panas Poring ini terletak di kawasan tanah rendah, 43 km dari Taman Kinabalu. Mata air panas poring mengandungi khasiat mineral dan sulfur yang baik untuk kesihatan dan membantu menyegarkan badan dan sendi-sendi yang lenguh. Ianya sesuai untuk anda sekeluarga berendam sebentar di kolam air panas ini setelah mendaki gunung atau sesudah seharian berjalan-jalan ke destinasi di Kundasang.

Selain itu, anda juga boleh melawat taman rama-rama, Pusat Pemeliharaan Orkid Poring, taman tropika, jambatan dan laluan berkanopi dan kawasan bunga Rafflesia yang berdekatan dengan kolam air panas ini.

Taman Negara Kinabalu, Kundasang

Image result for taman negara kinabalu

Jika anda merancang untuk tidak mendaki Gunung Kinabalu tapi masih mahu merasa suasana di gunung ini, inilah tempat yang sesuai untuk anda! Taman Kinabalu merupakan pembuka kepada Gunung Kinabalu.

Anda akan meluangkan banyak masa berjalan di kawasan ini. Anda boleh menikmati pemandangan hijau terutamanya flora-flora semulajadi Borneo seperti orkid-orkid liar. Anda boleh menempah lawatan berpandu jika anda mahu tahu lebih lanjut tentang flora dan fauna semulajadi di sini. Oh ya, suhu di sini sejuk tau, dalam 16 hingga 25 darjah Celcius, jadi bolehlah anda sediakan baju atau jaket tebal sebelum ke sini.

Sosodikan Hill

Image result for sosodikon hill

Bagi anda yang suka hiking secara ringan, boleh lah datang ke sini. Untuk sesiapa yang tak biasa hiking pun boleh juga mencuba. Dengan pendakian selama 20 minit, anda akan tiba di puncak bukit ini. Anda boleh nikmati pemandangan indah Gunung Kinabalu dan kawasan di sekitar bukit ini.

Sebolehnya, mulakan pendakian sebelum 8 pagi untuk dapatkan pemandangan yang tidak ditutup kabusdan turun sebelum 3 petang. Jangan lupa ambil gambar banyak-banyak ketika di puncak bukit ini.

Sedikit tips untuk anda, beberapa tempat tersebut terletak berdekatan sesama sendiri. Contohnya Taman Kinabalu berhampiran dengan Kolam Air Panas Poring dan jika anda sudah membeli tiket di Taman Kinabalu, anda boleh menggunakan tiket yang sama di kolam air panas. Kebanyakan tempat-tempat ini juga terletak di lokasi dalam perjalanan ke Gunung Kinabalu. Jadi anda boleh tinggal di sini selama beberapa hari untuk betul-betul mengembara di tempat menarik yang ada di Kundasang, Sabah.

Sumber: Letsgoholiday.com

Baca Juga: Sedang bercuti di luar negara, TIBA-TIBA ada stranger follow dari belakang! 11 Tips keselamatan semasa melancong di Luar Negara.

 

Related Posts