Tempat Menarik Di Ipoh | Keistimewaan Tersendiri

Di Ipoh, tempat menarik yang menjadi pilihan kepada ramai para pelancong. Disebabkan kemampuannya untuk mengekalkan dan memelihara warisan klasik tanpa dimakan dek peredaran zaman yang menghauskan perubahan.

Bukan itu sahaja, Ipoh turut kaya dengan keindahan alam semulajadinya yang memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Jom kita tengok tempat menarik di Ipoh yang ada Keistimewaan Tersendiri ni.

Book Xcess Ipoh

Kedai buku yang terletak di Kong Heng Square ini telah menggantikan fungsi salah sebuah bank yang pernah sibuk dengan urusan perbankan pada sekitar tahun 1980-an.

Di tingkat bawah, anda dapat melihat ramai pelanggan sibuk memilih pelbagai buku yang diletakkan pada peti-peti besi deposit yang telah diubahsuai sebagai rak buku.

Selain itu, di kedai buku ini juga terdapat ruang “newseum” Yasmin at Kong Heng yang mempamerkan antara iklan Petronas dan filem yang terbaik pernah dihasilkan arwah Yasmin Ahmad.

Kong Heng Square

Gabungan dua era menjadikan lokasi ini begitu unik dan sesuai sekali untuk dijadikan lokasi jual-beli karya seni dan kraftangan kerana aura kreatif yang terpancar di sekitar pelusuk Kong Heng Square ini.

Untuk menyelami ‘intipati’ sebenar kota hipster Ipoh, anda boleh menjejaki Kong Heng Square yang terletak di antara bangunan dengan seni bina kolonial dan juga moden di Ipoh Old Town.

Selain produk kreatif, di sini juga anda boleh menemui banyak kafe atau gerai makanan yang menarik. Hanyalah terdiri daripada 3 buah lot, namun ia cukup padat dengan kiosk dan gerai yang akan menggoda jiwa sesiapa sahaja untuk berhenti melihat.

Time Tunnel Ipoh

Time Tunnel Ipoh adalah sebuah muzium kecil yang terletak di tingkat dua, di atas sebuah kedai perhiasan di Jalan Panglima. Jangan ingat dengan saiz yang kecil menjadikan muzium ini kurang penting untuk dilawati, kerana di dalamnya sungguh padat dengan pelbagai barangan antik yang dapat membawa anda ke era lama iaitu dari zaman 40-an sehingga 80-an.

Antara koleksi klasik yang boleh ditemui di muzium ini adalah permainan-permainan lama, dapur tradisional, mesin wang tunai analog, botol minuman Coca-Cola versi klasik, tea set dan banyak lagi.

Sambil melihat setiap barangan yang dipamerkan, anda juga boleh bergambar dengan sepuas hati. Jangan risau, tiada halangan untuk berfotografi. Luangkanlah masa selama mana anda inginkan untuk betul-betul menyelami dunia klasik ni ya?

Berjaya menarik dalam sekitar 100 orang pelawat setiap hari pada musim cuti, ternyata muzium ini menjadi salah satu destinasi ‘bucket list’ dalam kalangan ramai pelancong yang bercuti di Ipoh. Caj masuk yang dikenakan juga cukup murah, kenapa perlu fikir lama-lama?

Upside Down World Ipoh

Menawarkan 16 buah tarikan berbeza di dalam satu lokasi, Upside Down World Ipoh adalah lokasi berfotografi yang paling menyeronokkan di Ipoh. Mana tidaknya, setiap barangan dan perabot di dalam Upside Down World ini adalah seperti namanya, terbalik atau melawan graviti.

Dengan set-up yang sebegini, anda boleh berposing seolah-olah terapung di udara, terjatuh atau terbalik. Hasilnya? Gambar yang tidak ubah seperti berlakon di dalam filem aksi Hollywood. Sama ada anda pandai berposing atau tidak, anda tetap akan pulang dengan hasil foto yang menarik kerana staff di sini cukup banyak membantu supaya anda dapat menghasilkan pose yang bersesuaian dan penuh dengan kreativiti. Anda hanya perlu datang dan enjoy!

Lost World of Tambun

Taman tema Lost World of Tambun ini secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu dry park dan wet park. Di dry park anda boleh meningkatkan adrenalin dengan menaiki roller coaster yang juga sesuai untuk kanak-kanak, juga terdapat  rumah hantu jika anda inginkan sedikit thrill.

Di samping itu, anda boleh melawat Petting Zoo yang menempatkan pelbagai jenis haiwan seperti arnab, rakun, ular, zirafah, harimau dan bermacam lagi. Terdapat juga aktiviti-aktiviti lasak seperti berakit, merentas hutan, meneroka gua, mendaki gunung dan banyak lagi.

Di wet park terdapat Jungle Wave Pool yang memiliki kolam berombak yang terbesar di Malaysia, Adventure River pula adalah di mana anda dapat mengelilingi sungai buatan yang agak panjang dengan menaiki pelampung. Aktiviti-aktiviti lain di wet park ini adalah seperti Sandy Bay, Kids Explorabay, Cliff Racer dan Tube Raiders.

Aktiviti-aktiviti ini mungkin kedengaran agak lasak, namun jangan risau, permainan-permainan ini dibahagikan mengikut kesesuaian umur dan kemampuan pengunjung, jadi datanglah bersama ahli keluarga anda ke sini untuk memberikan mereka pengalaman yang tidak akan dilupakan!

Gua Kek Look Tong & Zen Garden

Terletak berdekatan dengan Gunung Rapat dan 5 km dari bandaraya Ipoh adalah sebuah gua batu kapur yang besar digelar Gua Kek Look Tong. Pada tahun 1960, gua ini dijadikan tapak perlombongan besi.

Kini, ia merupakan tokong Buddha yang telah memenangi pelbagai anugerah kerana keindahan lanskap taman yang ada disebalik gua ini. Siapa menyangka akan diraikan dengan pemandangan yang sebegitu indah sebaik sahaja keluar daripada terowong gua ini?

Sebaik sahaja anda sampai ke taman ini, anda akan dapat mendengar keriuhan burung-burung dan angsa yang dipelihara di sini. Yang lebih menarik lagi, anda boleh beriadah di sini kerana terdapat jalan yang disediakan untuk berjogging mengelilingi dua tasik yang indah. Taman ini juga memiliki salah satu daripada laluan refleksologi pejalan kaki yang terpanjang di Ipoh.

Waktu yang terbaik untuk anda melawat gua dan taman ini adalah pada waktu pagi supaya anda dapat menikmati keindahan taman ini di samping udara yang menyegarkan.

Art of Old Town

Art of Old Town persis namanya merupakan sebuah destinasi yang dihiasi dengan ilustari-ilustrasi kreatif pada dinding-dinding bangunan di sini.

Ilustrasi-ilustrasi ini telah dihasilkan oleh Ernest Zacharevic, seorang seniman yang menerima pengiktirafan dunia atas lukisan-lukisan mural yang beliau hasilkan di sini. Beliau juga turut terlibat dalam penghasilan seni jalanan di New York.

Mural dinding yang terdapat di sini diinspirasikan daripada budaya masyarakat Ipoh. Masa yang diambil untuk melihat keseluruhan Art of Old Town ini adalah lebih kurang 30 minit.

Anda perlu berjalan sekitar Market Street, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Padang, Jalan Bijeh Timah dan Concubine Lane 3. Jangan lupa membawa kamera anda sekali untuk mengabadikan diri anda dengan karya-karya kreatif ini.

Taman Rekreasi Gunung Lang

Terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman yang sebelum ini dikenali sebagai Jalan Kuala Kangsar adalah sebuah taman rekreasi yang dikelilingi pemandangan alam semulajadi. Sebelum tiba ke taman rekreasi ini, anda perlu menaiki bot yang akan membawa anda menyeberangi tasik ditemani dengan lanskap indah  bukit batu kapur.

Setibanya di taman rekreasi ini, anda akan dapat melihat air terjun buatan manusia di atas bukit batu kapur. Untuk anda yang membawa anak pula, taman rekreasi ini turut dilengkapi dengan taman permainan dan juga mini zoo. Selepas berjalan-jalan anda boleh menaiki menara tinjau untuk menikmati keindahan taman sepuas-puasnya sebelum pulang.

Funtasy House Trick Art

Rumah yang dipenuh dengan ilusi optikal dan magikal ini dibuka pada tahun 2015. Masa yang diambil dalam proses menyiapkan semua lukisan-lukisan ini adalah dalam sekitar empat bulan. Terdapat lapan orang pelukis yang terlibat dalam projek ini.

Funtasy House Trick Art memiliki empat bahagian yang berbeza antara satu sama lain dari segi tema mereka.

Pertama adalah galeri yang memaparkan bandaraya Ipoh, yang kedua adalah bahagian rumah terbalik ataupun upside-down house, yang ketiga adalah dunia fantasi dan yang terakhir sekali bertemakan Bilik Penderaan.

Pasti anda pernah melihat bukan gambar-gambar pengunjung yang pernah datang ke tempat ini? Amat menarik. Anda juga akan dapat pulang dengan foto-foto yang pasti akan menjadi kerana kakitangan-kakitangan di sini akan membantu anda mendapatkan gambar yang sempurna secara percuma.

Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz / Padang Polo

Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz ataupun Padang Polo adalah destinasi yang menarik untuk dilawati bersama keluarga bagi mengambil udara segar sambil menyegarkan mata dengan pemandangan penuh kehijauan di sekitar taman. Di tengah-tengahnya juga terdapat tasik yang damai dipandang mata.

Semasa berada di sini, anda boleh mengeluarkan peluh dengan aktiviti berjogging, sementara anak-anak pula berseronok di taman permainan atau bermain di padang bola luas yang disediakan. Aktiviti lain yang dapat dilihat dilakukan pengunjung di taman ini adalah seperti skateboard, rollerblade dan sebagainya.

Dah puas menikmati keindahan taman? Sekiranya anda datang pada waktu petang, banyak gerai dibuka dengan jualan makanan seperti ABC, cendol, rojak, laksa dan sebagainya. Kemudahan lain yang disediakan adalah tandas awam.

Qing Xin Ling Leisure and Cultural Village

Di Qing Xin Ling, bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam semulajadinya. Malahan, untuk anda yang sukakan fotografi terdapat banyak lokasi-lokasi yang berkonsep vintaj disediakan di sini.

Anda dapat melihat barangan-barangan antik yang dipamerkan. Yang menariknya lagi, anda boleh mengelilingi kawasan Qing Xin Ling ini dengan menaiki basikal atau beca klasik yang disediakan, sudah pasti ini akan menjadi pengalaman yang sangat menyeronokkan.

Terdapat beberapa kolam ikan di sekitar kawasan ini yang mana anda boleh membeli sebungkus makanan ikan dengan harga RM1.00. Setelah itu, anda bolehlah berehat-rehat di pondok-pondok yang disediakan di sini untuk menikmati pemandangan indah kawasan ini dengan penuh ketenangan. Dinasihatkan untuk anda datang awal ke sini ketika waktu matahari berada di sebalik gunung.

Untuk anda yang sukakan aktiviti lasak, anda boleh menerokai kawasan ini dengan jungle trekking dan cuba mendaki bukit di sini. Tapi jangan lupa untuk membawa pakaian dan kasut yang sesuai ya dan berhati-hati kalau anda datang selepas hujan, kerana jalan dilalui boleh menjadi licin.

Penginapan turut disediakan di sini, terdapat beberapa rumah berwarna-warni yang disediakan di sini, harga juga berbeza-beza berdasarkan saiz rumah.

Gerbang Malam

Jika anda ingin membeli-belah, datanglah ke Gerbang Malam, pasar ini berkeluasan lebih kurang 1 km dan terletak di Jalan Tahwil Azhar. Pasar ini berkonsepkan uptown di mana anda dapat melihat pelbagai jenis barangan dijual, memang rambang mata dibuatnya.

Jika anda sukakan karya kreatif, di sini juga terdepat gerai-gerai yang menjual tulisan khat, lukisan atas papan dan banyak lagi. Bagi anda yang inginkan penjimatan pula, banyak juga gerai-gerai bundle di sini.

Setelah penat berjalan, anda boleh mendapatkan urutan kaki dan refleksologi yang berada di sini. Kemudian, bolehlah sambung berjalan lagi sehinggalah anda menjumpai barang yang diingini.

Pasar Karat Ipoh

Lagi satu destinasi untuk menipiskan poket anda adalah Pasar Karat Ipoh. Nama lain untuk pasar ini ialah Loken. Dulunya Pasar Karat ini terletak dekat dengan Bazar Lam Look King. Walaupun setelah bertukar ke lokasi lain, nama ini kekal sehingga sekarang.

Apa yang menariknya di sini adalah terdapat terlalu banyak barangan antik yang dijual, rambang mata dibuatnya. Semakin lama anda berjalan sekitar pasar ini, semakin susah untuk anda membuat pilihan.

Contoh barangan yang dijual adalah gramofon, radio lama, cermin mata klasik, basikal vintaj yang turut beserta dengan geran dan lain-lain lagi. Pasar ini boleh dianggap sebagai syurga bagi pengumpul barangan antik.

Sama seperti pasar di Gerbang Malam, jika anda ingin membeli belah barangan bundle atau secondhand, banyak gerai sebegini di pasar ini.

Bila anda sudah penat berjalan-jalan, yang mana saya yakin anda akan berasa penat kerana kawasan pasar ini agak panjang, lebih kurang 2 km. Jangan risau kerana terdapat banyak gerai makanan yang boleh anda singgahi untuk mengisi perut yang lapar. Untuk penginapan pula, banyak hotel-hotel yang berada di sekitar kawasan ini.

Gua Tempurung

Terletak di Gopeng, Perak, perjalanan ke sini daripada bandaraya Ipoh adalah dalam 24 km. Gua Tempurung ini merupakan yang terbesar di Semenanjung Malaysia dengan kepanjangan lebih daripada 3 km.

Terowong gua ini terbentuk di bawah gunung batu kapur iaitu Gunung Tempurung dan Gunung Gajah. Terdapat juga sungai yang mengalir di dalam gua ini dengan kepanjangan sebanyak lebih kurang 1.6 km. Gua ini terkenal dengan kecantikan pembentukan batu-batu stalagmit dan stalaktitnya.

Kinta Riverfront

Kinta Riverfront, satu destinasi yang agak menarik untuk dilawati pada waktu malam kerana terdapat cahaya lampu LED yang dipasang pada pokok-pokok di sepanjang laluan sungai Kinta ini. Konsepnya sama seperti I-City di Shah Alam.

Lampu-lampu berwarna-warni yang menerangi kawasan ini memberikan suasana yang agak romantik dan mengujakan. Ia memang lokasi yang sempurna untuk anda bergambar dengan yang tersayang.

Sumber: maisinggah.com

Baca Juga: Tempat menarik yang santai-santai di Selangor

Related Posts