Tempat Makan Terbaik Di Kuala Terengganu | Tersohor Sedap

Terengganu Darul Iman sangat terkenal dengan pelbagai destinasi percutian menarik khususnya di kawasan pulau & pantai. Alang-alang kalau sudah melancong ke tempat menarik di Kuala Terengganu. Jangan lupa untuk terjah ke beberapa destinasi pilihan tempat makan terbaik di Kuala Terengganu yang sering menjadi kunjungan pelancong luar. Tempat makan yang best di Terengganu ini kebanyakannya mengetengahkan warung, restoran & gerai yang boleh pelancong cari makanan popular orang tempatan. Contohnya nasi dagang, ikan celup tepung, ketupat sotong, aneka kuih muih tradisional dan lain-lain lagi.

Majoriti destinasi yang dikongsikan di bawah ini tertumpu di kawasan Bandar KT & juga beberapa destinasi yang tidak jauh dari bandar Kuala Terengganu tetapi masih mudah untuk dilawati. Senarai ini berdasarkan populariti di kalangan orang setempat & semoga memberi anda seribu satu idea untuk upacara jalan-jalan cari makan di Kuala Terengganu anda kelak bersama keluarga. Samaada untuk makan pagi, makan tengahari dan malam, senarai di bawah ini pasti ada jawapannya.

Nasi Dagang Atas Tol

Menu nasi dagang semestinya satu menu tempatan yang wajib anda cuba kalau bercuti di Terengganu. Di sekitar Kuala Terengganu ada beberapa destinasi menarik untuk anda terjah bagi menjamu nasi dagang. Salah satu yang popular yang telah beroperasi hampir 10 tahun adalah Nasi Dagang Atas Tol. Orang tempatan memanggil kedai ini Nasi Dagang Atas Tol Tepi Kubur memandangkan lokasinya yang bersebelahan dengan kubur.

Kedai Nasi Dagang Atas Tol dibuka seawal 6 & kebiasaannya habis sebelum pukul 11 pagi. Waktu hujung minggu di Terengganu iaitu hari Jumaat & Sabtu atau cuti sekolah, pengunjung perlu lebih sabar kerana begitu ramai orang yang datang beli nasi dagang di sini. Minuman ‘signature’ di sini pula adalah Teh Ais Madu/Teh Ais Ombak Rindu yang buihnya sangat tinggi & pasti membuatkan anda kecur air liur tak sabar nak minum.

  • T101, 20050, Kuala Terengganu, Terengganu
  • 6.30 am – 11.00 am ( Isnin & Selasa tutup)

 

Restoran Singgang Budu

Bagi anda yang mencari tempat makan tengahari di Kuala Terengganu yang menyediakan lauk pauk orang setempat. Salah satu destinasi popular yang ideal dalam Bandar KT yang boleh anda terjah adalah di Restoran Singgang Budu. Menu lauk ‘singnature’ di sini adalah singgang iaitu satu jenis masakan yang jarang ditemui di negeri lain. Masak singgang atau dikenali di tempat lain dengan masak pindang adalah satu menu lauk yang sangat digemari oleh orang Terengganu. Cara nak buatnya juga ‘simple’ & semestinya wajib ada budu sebagai penyedap. Bagi anda yang ingin merasai sendiri makan tengahari dengan menu lauk asli orang Terengganu, sangat sesuai untuk datang & cuba sendiri. Masak singgang yang ada di sini juga pelbagai seperti ikan singgang, daging singgang, sotong singgang & terdapat juga lauk pauk yang lain yang tidak kurang menariknya seperti ikan panggang, masak lemak, gulai & macam-macam lagi.

  • Jalan Engku Sar, 20300 Kuala Terengganu, Terengganu
  • 11.00 am- 5.00 pm

 

Gerai Kuih Muih Gong Kapas

Destinasi ini memang wajib pelancong datang untuk mencari aneka-kuih muih tradisional yang sangat susah nak cari di tempat lain. Disini menempatkan deretan lot gerai yang kesemuanya menjual makanan pemanis mulut. Yang mana menjadi kegilaan pelancong luar yang ingin menikmati kuih tradisional orang Terengganu. Bagi golongan perantau yang berasal dari Kuala Terengganu, nama Gerai Kuih Gong Kapas pasti mempunyai nostalgianya yang tersendiri.

  • Jalan Panji Alam, 21100 Kuala Terengganu, Terengganu
  • 3.00 pm-7.00 pm

 

Fauzi Nasi Kerabu

Memang best makan angin di Terengganu, waktu pagi memang banyak aneka jenis makanan berat yang boleh dicari dengan mudah. Salah satu destinasi pilihan yang mesti anda cuba adalah Fauzi Nasi Kerabu & yang lebih menarik berbanding Nasi Kerabu di tempat lain, destinasi ini telah terpilih sebagai salah satu daripada 50 gerai World Street Food Congress yang diadakan di Manila baru-baru ini. Tidak hairanlah dengan kemahiran & pengalaman berniaga nasi kerabu sejak 30 tahun yang lalu, nama Fauzi Nasi Kerabu sangat gah di Kuala Terengganu & di mata dunia.

  • Kampung Kolam, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
  • 7.00 am – 1.00 pm ( setiap hari)

 

Warung Pok Nong

Destinasi santai petang yang sangat popular dengan menu makanan laut yang dicelup di dalam tepung sebelum digoreng dalam minyak panas seperti pisang goreng. Memang sangat best dimakan panas-panas dicicah pula dengan air lada yang pekat atau dikenali dengan nama ‘chollek’. Pilihan makanan laut celup tepung yang ada di Warung Pok Nong adalah seperti ikan pari, ikan kembung, sotong & udang. Setiap hidangan sotong celup tepung akan disediakan gunting besar untuk memudahkan pelancong potong kecil-kecil sebelum makan.

Terdapat juga menu makanan santai orang Terengganu yang lain di sini seperti ketupat sotong, pulut mangga, keropok lekor, pulut durian & sebagainya. Sangat sesuai untuk pelancong yang bercuti di Kuala Terengganu dan inginkan satu destinasi makan petang yang santai di tepi pantai & makanannya pun sedap. Kalau hari cuti, Warung Pok Nong memang ramai sehingga kena beratur panjang. Mujurlah, destinasi lain untuk makan menu ikan celup tepung atau ICT di sekitar kawasan ini banyak. Anda boleh susur jalan di sepanjang jalan kecil di Warung Pok Nong ini untuk mencari gerai-gerai ICT yang lain ataupun mungkin boleh ke Pantai Teluk Ketapang yang terletak tidak berapa jauh dari sini.

  • A1693 Jalan Pantai, T145, Kampung Teliput, 21030 Kuala Terengganu, Terengganu
  • 3.00 pm – 8.30 pm ( Hari Selasa tutup)

 

Warung Amilin Selera Kampung

Destinasi yang sangat ideal untuk anda memburu menu masakan kampung ikan sungai yang sangat segar. Kali ini destinasi yang dicadangkan agak jauh dari bandar Kuala Terengganu, namun boleh anda singgah untuk makan tengahari sebelum masuk LPT 2 menuju ke KL ataupun mungkin singgah di sini setelah penat mandi manda di kawasan Air Terjun Sekayu. Warung yang terletak di Ajil, Kuala Berang ini memang sangat terkenal dengan hidangan ikan baung masak tempoyak & gulai kampung yang pasti membuatkan pengunjung puas hati kerana kesedapannya & yang paling penting adalah kerana kesegaran ikannya yang tiada tolak bandingnya di tempat lain. Maklumlah, Kuala Berang merupakan satu bandar kecil yang sangat terkenal sebagai sumber ikan sungai seperti juga Temerloh di Pahang yang sinonim dengan Jolokan Bandar Ikan Patin.

  • Kampung Tok Randok, 21800 Ajil, Terengganu
  • 10.00 am-2.00 pm

 

Aidilsroti

Roti canai memang tidak asing lagi di Malaysia. Di sini, Aidilsroti merupakan salah satu tempat makan menarik yang boleh anda cuba roti canai dengan caranya yang tersendiri. Antara menu yang menjadi sambutan hangat adalah Roti Canai Goyang Gedik. Yang mana roti canai yang dihidangkan akan ditambah dengan telur separuh masak di atasnya. Selain roti canainya yang lembut, kuah karinya lebih kepada rasa rempah kemanisan sesuai dengan selera orang Pantai Timur. Anda juga boleh ‘add-on’ setiap roti canai dengan lauk tambahan seperti ayam bakar atau pun daging bakar. Satu tempat sarapan pagi di Kuala Terengganu yang mesti anda cuba sendiri untuk merasai keunikan kombinasi rasa roti canai & gulainya. Lokasinya juga mudah diakses dari Bandar KT & kedainya betul-betul di bawah Jambatan Sultan Mahmud.

  • Jambatan Sultan Mahmud, No 3, Medan Selera Bawah, Su, Kuala Hiliran Jalan Losong Haji Mat Shafie 21000 Kuala Terengganu Terengganu
    • 7.30 am – 12.30 pm

    *bulan Ramdhan turut dibuka pada waktu malam

 

Restoran Lempeng

Sekiranya anda dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu melalui jalan pantai, apa kata singgah dahulu di Restoran Lempeng yang terletak berdekatan dengan Kampung Rusila, Marang. Restoran ini betul-betul terletak di tepi pantai & menu popular di sini adalah lemping nyor ( Lempeng Kelapa) cicah gulai & juga aneka lauk pauk orang tempatan untuk makan tengahari seperti ketupat sotong, singgang, masak lemak, budu & sebagainya. Memang best makan di sini kerana suasananya tepi pantai. angin pantainya kuat & kedainya yang terbuka membuatkan hati tidak rimas & panas.

  • Restoran Lempeng, Kampung Rusila, 21080, Marang, Terengganu
  • 11.00 am – 12.00 am

 

Dapo Pata Kontena

Lokasinya yang betul-betul di tepi pantai menjadikan destinasi ini sering menjadi kunjungan orang ramai yang inginkan suasana makan yang unik & lebih santai. Terletak di Pantai Tok Jembal & hanya 5 minit dari Airport Kuala Terengganu. Sesuai untuk anda datang bersama rakan-rakan untuk santai petang atau malam sambil menikmati pemandangan laut yang indah. Yang uniknya, Dapo Pata Kontena menempatkan lebih 10 buah kontena yang setiap satunya diusahakan oleh peniaga yang berlainan. Menu makanan di sini juga bercampur-campur baik makanan santai, makanan Melayu & Western Food.

Kalau nak menikmati susana pantai, sebaiknya datang sebelum pukul 7 pm. Boleh bawa anak-anak bermain-main di gigian pantai sebelum menikmati makanan santai di sini. Pada waktu malam, anda boleh juga naik ke kawasan tempat makan yang dibina di atas kontena untuk menikmati angin pantai & melihat kerdipan lampu-lampu bot nelayan nun jauh di hujung laut.

  • Tok Jembal, Gong Badak, Kampong Terengan, Terengganu
  • 5.00 pm-2.00 am (Setiap hari)

 

Restoran Mat Binjai

Kedai makannya kecil sahaja & waktu ‘peak’ boleh sesak juga untuk cari meja di sini. Restoran ini sudah lama bertapak di KT & sering menjadi kunjungan pengunjung yang ingin mencari lauk kampung & ulam-ulaman pada waktu tengahari. Aneka lauk pauk juga tidaklah terlalu banyak seperti di medan selera yang besar, tetapi cukup untuk anda yang tercari-cari destinasi lunch yang sedap & mudah untuk diakses dalam bandar Kuala Terengganu. Di sini juga ada menyediakan telur penyu yang rasanya masin berlemak tetapi…susah nak dieksperesi dengan kata-kata.

  • 71, Jalan Sultan Sulaiman, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
  • 8.00 am – 6.00 pm ( Ahad tutup)

 

Nasi Kukus Sempoi Alias 2

Menu makanan tradisional di Terengganu kebanyakannya berasaskan ikan. Sekiranya anda alahan dengan ikan, apa kata pergi mencuba Nasi Kukus Sempoi Alias ini yang sangat terkenal di dalam Kuala Terengganu. Seperti kebanyakan nasi kukus lain, menunya adalah hanyalah nasi putih yang dikukus, ayam goreng berempah, sambal & yang menjadikan Nasi Kukus Sempoi Alias ini sangat-sangat terkenal adalah kerana kuah karinya yang sangat kaw-kaw menusuk kalbu. Nasi Kukus Sempoi Alias yang dimakan pada waktu tengahari & panas berserta dengan minuman ‘singnature’ di sini iaitu Teh Ping Buih Aiskrim memang satu kombinasi yang cukup best untuk anda cuba.

  • Lorong Kapas, Gong Kekabu, 21100 Kuala Terengganuv
  • 10.00 am – 4.00 pm ( Jumaat Tutup)

 

Air Buah Pak San

Sekiranya anda menginap di sekitar Airport Kuala Terengganu, jangan lupa untuk datang ke kedai Air Buah Pak San yang sudah lama menjadi lokasi feveret untuk mereka yang suka minum air buah yang sedap & banyak. Harga pun sangat berpatutan. Pilihan air buah di sini juga sangat pelbagai seperti mempelam, durian belanda, nenas & sebagainya. Selain menu air buahnya yang menjadi ‘trademark’ restoran ini, terdapat juga makanan-makanan santai orang Terengganu yang turut disediakan seperti laksam, laksa Terengganu, nasi minyak, mee kari, keropok lekor & sebagainya. Satu tempat makan best di Terengganu yang sangat santai & sesuai untuk anda datang lepak dengan keluarga atau kawan-kawan pada waktu petang ataupun malam.

  • Jalan Tengku Ampuan Bariah, Taman Samudera, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu
  • 5.00 pm – 1.00 am (setiap hari)

 

Nasi Dagang Mak Ngah

Memandangkan menu nasi dagang sangat popular di Kuala Terengganu, ada beberapa pilihan kedai yang sedap untuk pelancong cuba. Mungkin setelah cuba Nasi Dagang Mak Jah & Nasi Dagang Atas Tol, boleh pula mencuba ke destinasi Nasi Dagang Mak Ngah. Setiap nasi dagang di 3 lokasi utama ini memang tidak dinafikan sangat popular & mempunyai peminat tegar sendiri. Kedai ini juga telah lama bertapak di Kuala Terengganu. Dan sering menjadi kunjungan pelancong yang memandu dari Kuala Terengganu – Kuantan. Di sini juga anda boleh mintak Nasi Dagang Kawin Mee Hoon, nampak macam biasa tetapi tekstur yang terhasil bila dikunyah memang lagi meriah untuk ditelan.

  • C-140, Jalan Sk Chendering, Kampung Bukit, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu
  • 7.00 am – 12.00 pm

 

Nasi Dagang Kak Jah

Destinasi berikutnya untuk anda mencari nasi dagang popular di Kuala Terengganu adalah Warung Nasi Dagang Kak Jah. Seperti juga Nasi Dagang Atas Tol, destinasi Nasi Dagang ini telah lama bertapak di Kuala Terengganu. Dan juga mempunyai peminat setianya yang tersendiri. Sekiranya anda menginap di sekitar Bandar KT, boleh datang ke sini untuk sarapan yang hanya makan masa kurang 10 minit sahaja memandu. Selain Nasi Dagang, di sini juga ada menyediakan menu sarapan pagi. Tidak kurang popularnya iaitu Nasi Kunyit atau lebih dikenali dengan nama Pulut Kuning. Nak lagi best, mintak Nasi Dagang Vs Kunyit + telur ikan. Kombinasi terbaik untuk anda breakfast di waktu pagi sebelum makan angin di sekitar Kuala Terengganu.

  • Jalan Pasir Panjang, Kampung Pasir Panjang, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu
  • 7.00 am – 11.00 am

 

Hot Hot Roti Canai

Kalau anda dari Selangor & KL, dan pertama kali datang ke Terengganu, memang akan rasa pelik kerana sangat kurang kedai mamak yang ada di sini. Namun, sekiranya anda masih kepingin makan makanan ala-ala mamak seperti roti canai, tosei & nasi kandar yang sedap di Kuala Terengganu, salah satu destinasi yang dicadangkan adalah di Hot Hot Roti Canai. Masakan di sini memang lebih ‘spicy’ kepada ala-ala orang India & tidak dipengaruhi oleh resepi gulai-gulai orang Pantai Timur yang lebih lemak & rasa manis. Lokasinya juga hanya bersebelah dengan Airport Kuala Terengganu.

  • Jalan Tengku Ampuan Bariah, Kampung Teluk Ketapang, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu
  • 7.00 am – 11.00 pm

 

Oliva Cafe

Bagi anda yang ingin mencari kedai makan western di Kuala Terengganu yang berkualiti dengan suasana kedai yang lebih moden, Oliva Cafe adalah salah satu destinasi terbaik yang berdekatan untuk anda terjah. Di sini pelbagai pilihan menu makanan ala barat disediakan seperti steak, pasta, smoked duck olio, lamb chop, mojito & macam-macam lagi menu mat salleh yang pelik & canggih namanya. Sekiranya anda berbulan madu di Terengganu, bolehlah bawa yang tersayang makan malam di sini untuk suasana yang lebih romantis.

  • 1102-d, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Ladang Padang Cicar, 20000 Kuala Terengganu
  • 5.00 pm – 12.00 am ( Isnin tutup)

 

NR Cafe

Sekiranya anda menginap di hotel atau homestay berdekatan dengan Airport KT, bolehlah bawa keluarga untuk makan malam di NR Cafe yang terkenal dengan masakan panas ala Thai. Lokasinya yang mudah diakses & deko kedainya juga sangat menarik yang terdiri daripada binaan buluh yang membangkitkan pengalaman unik apabila bersantapan di sini. Di NR Cafe, pengunjung boleh pilih sendiri pelbagai jenis seafood seperti ikan, udang & sotong sebelum diserahkan kepada tukang masak untuk dimasak mengikut jenis masakan pilihan anda. Selain itu, di sini juga ada menyediakan ‘western food’ yang tidak kurang menariknya dari segi rasa & persembahannya untuk santapan anda sekeluarga.

  • Lot 34354, Jln Tok Jembal, Kampung Tok Jembal, 21300 Kuala Terengganu
  • 4.30 pm – 11.30 pm

 

Hazlan Bistro

Kalau bercuti secara berkumpulan atau ramai-ramai dengan keluarga, sudah tentu kita mencari satu tempat makan best di Kuala Terengganu yang luas dengan fasiliti yang lengkap & suasana yang best untuk dinner. Salah satu kedai makan malam di Kuala Terengganu yang dicadangkan untuk pengunjung yang inginkan restoran yang lapang berkonsepkan ‘Restaurant in The Garden’ & pilihan makanan yang pelbagai adalah di Hazlan Bistro. Samaada anda nak makan masakan panas ala Thai, western food, sizzling mee, makanan tradisional tempatan atau makanan santai orang Ganu, semuanya ada di sini.

  • 4097, Jalan Haji Abdul Rahman Limbong, Kampung Banggol, Kuala Ibai, 20400 Kuala Terengganu.
  • 4.30 pm – 1.30 pm ( setiap hari)

 

Simpunk Corner

Anda sukakan restoran yang unik dengan deko-deko yang kreatif? Apa kata ke Simpang Corner yang terkenal dengan menu ‘western food’ yang sedap & yang paling unik konsep hiasan dalaman restoran seakan-akan seperti ‘hipster’ gitu. Ramai yang cadangkan untuk datang ke sini bagi mereka yang nak makan malam dengan menu Western yang sedap & harga yang berpatutan. Paling meriah, kadang-kadang ada juga persembahan oleh busker yang pasti memberi pengunjung satu pengalaman yang lebih menarik untuk menjamu selera. Pilihan makanan di sini juga bukan hanya yang western semata-mata, ada juga pilihan menu makanan tempatan yang tidak kurang enaknya.

  • Jalan Lapangan Terbang, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu
  • 5.00 pm – 1.00 am

 

Gudang Makang

Mungkin anda akan alami situasi di mana tidak tahu nak makan apa. Nak makan kena tengok dulu baru rasa terliur nak telan. Nah, cubalah terjah destinasi Gudang Makang yang merupakan medan makan yang sangat besar & mempunyai lebih 15 gerai yang masing-masing menyediakan pelbagai jenis menu makanan yang berbeza. Lebih 70 menu makanan yang ada di sini untuk anda pilih. Samaada makanan tempatan, masakan panas, santai-santai atau western, semuanya ada. Makanan yang disediakan juga tidak kurang sedap & istimewa. Anda boleh cuba menu char kuey teaw udang galah di salah satu gerai di sini, memang terangkat sekali makan.

Ruang parking kereta pun luas & tempat makannya yang lapang yang boleh memuatkan 300 orang pada sesuatu masa memang sangat sesuai untuk anda datang ke sini dalam kumpulan yang besar untuk makan malam. Memandangkan lokasinya dalam gudang yang tertutup, maka sangat sesuai untuk anda terjah ke sini walaupun pada waktu hujan pada musim tengkujuh. Satu tempat makan malam best di Kuala Terengganu yang meriah & siap ada ‘live band’ untuk setiap Jumaat sebagai hiburan pengunjung ketika bersantapan.

  • 7710, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, Kampung Banggul Tuan Muda, 21200 Kuala Terengganu
  • 5.00 pm – 12.00 am (Isnin tutup)

 

Kedai Makan Ustaz Merchang

Destinasi ini terletak mungkin agak jauh dari Bandar Kuala Terengganu sekitar 20-30 minit memandu, kalau anda dalam perjalanan balik ke KL atau menuju ke Kuantan melalui jalan pantai, jangan lupa untuk singgah makan tengahari di Kedai Makan Ustaz yang terletak di Merchang & hanya bersebelahan dengan Petronas Merchang. Tempat makan ini memang sangat terbaik dari kesemua aspek baik dari segi lokasi, ruang parking kereta, pilihan menu makanan tempatan, deko dalaman yang cantik serta servis penyedian yang pantas. Pilihan lauk pauk kampung di sini memang menarik baik menu masakan ikan darat, seafood, ikan bakar, aneka ulaman fresh & sebagainya. Antara ‘signature dish’ yang wajib pelancong cuba adalah Gulai Daging Kawah asli Terengganu & juga ikan baung masak tempoyak. Selain itu, pilihan minuman di sini juga sangat banyak termasuk dengan jenis minuman-minuman yang tidak ada di kedai lain seperti jus kedondong , jus lobak dan sebagainya.

  • Lot 2922, Kampung Pulau Rusa, 21610 Marang, Terengganu
  • 9.30 pagi – 4.30 petang

 

Restoran Dbaung

Bagi penggemar ikan darat (ikan sungai) seperti baung, keli, patin, talapia & sebagainya, apa kata anda terjah ke Restoran Dbaung untuk makan tengahari. Pilihan masakan ikan darat dikena pula dengan aneka ulam-ulaman segar sambil dicicah budu berlada pasti akan membuatkan sesiapa terliur tak sabar nak cuba. Yang paling penting, ikan darat yang dimasak di sini memang segar & rasa manis ikan masih terasa tidak seperti di kebanyakan destinasi lain. Berpeluh makan kerana penangan sambal ladanya & ditambah pula dengan jus mempelam yang ‘pior’ (asli), memang satu kombinasi terbaik untuk anda cuba sendiri.

  • Lot 25053-C, Jalan Tengku Mizan, Kampung Tebauk, Kuala Terengganu
  • 9.00 am – 5.00 pm

 

Kedai Makan Al Hijrah Oasis

Memang tidak dinafikan, pilihan makanan orang Terengganu kebanyakannya berasaskan ikan & seafood. Bagi mereka yang mungkin alahan, apa kata anda cuba nasi ayam yang bukan seperti di kebanyakan kedai nasi ayam lain. Pilihan jenis nasi ayam & nasi goreng unik yang ada di sini adalah seperti nasi ayam lada hitam, nasi ayam Jepun, nasi goreng kambing bakar & terdapat juga menu masakan Cina Muslim lain seperti mee sup herba & sebagainya. Satu tempat makan best di Kuala Terengganu yang mesti anda cuba sendiri keunikan menunya.

  • Kampung Bukit Bayas, Kg, Pasir Panjang, 21100, Kuala Terengganu
  • 10.30 am – 7.00 pm ( Jumaat tutup)

 

Ahlan Restaurant

Kalau ditakdirkan anda sampai di kedai ini, memang mula-mula akan rasa agak pelik. Kerana lokasinya yang terletak di jalan perkampungan yang gelap tiba-tiba akan terjumpa satu destinasi kedai yang begitu banyak kereta pengunjung. Destinasi ini memang sangat popular di kalangan orang setempat dengan menu roti tempayan & pelbagai pilihan kuah gulai yang ada di sini untuk anda cuba. Selain roti tempayan, ada juga menu popular lain iaitu nasi beriani & gulai dalca yang memang puas hati kalau kena sekali.

  • Kampung Bukit Payung, 21070, Terengganu
  • 5.30 pm – 12.00 am ( setiap hari)

 

Nasi Lemak Womoh

Kalau anda bercuti di Kuala Terengganu & nak cari kedai mamak untuk makan berat selepas pukul 12 malam, memang susah nak cari. Pada waktu pukul 12 tengah malam keatas, destinasi yang boleh anda terjah adalah Gerai Nasi Lemak Womoh ( Bawah Rumah). Di sini nasi lemak berlaukkan ikan tongkol (ikan aya) lebih digemari oleh orang setempat. Kalau lapar tengah malam, bolehlah datang ke sini untuk tapau sebungkus dua. Jangan terkejut, walaupun lokasi berniaga hanya di bawah rumah, silap hari bulan boleh beratur panjang walaupun pukul 2-3 pagi. Semata-mata nak makan sebungkus nasi lemak ikan aya. Gerai ini sudah bertahun-tahun lamanya bertapak di Kuala Terengganu. Pada bulan Ramadhan, Nasi Lemak Womoh memang sangat laris untuk dijadikan menu penduduk setempat bersahur.

  • Lorong Kemunting, Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu, 21100 Kuala Terengganu, Terengganu
  • 1.00 am – 9.00 am setiap hari.

 

Sumber: caridestinasi.com

Baca Juga: 10 Pantai Di Terengganu Yang Menarik Bakal Buat Anda Kagum

 

Related Posts