Tempat dan Aktiviti Menarik Di Malaysia | Malaysia Hari Ini

Malaysia sendiri merupakan destinasi pilihan ramai pelancong-pelancong luar dan tidak hairanlah negara kita terkenal dengan slogan ‘Malaysia Truly Asia’. Jadi memang banyak lah tempat menarik yang ada di Malaysia ni.

Bagaimanapun kebenaran ini hanya tertakluk pada percutian domestik dan mana-mana pelancongan di luar negara masih tidak dibenarkan disebabkan Covid-19.  Ini juga adalah peluang keemasan untuk meneroka lebih banyak tempat-tempat menarik di dalam Malaysia.

Taman Negeri Perlis

Walaupun Perlis merupakan negeri paling kecil dalam Malaysia, namun tahukah anda bahawa negeri paling Utara di semenanjung ini mempunyai tarikannya tersendiri. Untuk itu, suka kami syorkan anda ke Taman Negeri Perlis.

Sesuai untuk pencinta alam dan penggemar aktiviti luar (outdoor), Taman Negeri Perlis ini menjanjikan pemandangan yang cukup cantik. Salah satu fakta menarik mengenai Taman Negeri ini adalah ianya juga merupakan sempadan Barat Negeri Perlis yang menemukan Malaysia dan juga Thailand pada salah satu gunung dalam taman ini.

Tree Top Walk Sedim, Kedah

Ingin mencabar adrenalin anda? Apa kata kunjungi Taman Rekreasi Sungai Sedim yang terletak di Kedah. Bukan sekadar taman rekreasi biasa, kerana di dalamnya terdapat Tree Top Walk yang mencatat rekod sebagai laluan titian gantung yang paling panjang di dunia. Mempunyai kepanjangan sejauh 1.5 Kilometer, menerusi titian ini para pengunjung boleh melihat flora dan fauna dari aras yang tinggi.

Kellie Castle, Perak

Sebuah istana lama yang mempunyai tiga aras ini merupakan salah satu ikonik yang cukup terkenal di negeri Perak. Difahamkan, Kellie’s Castle atau juga dikenali sebagai Rumah Kellas ini dibina oleh seorang pemilik ladang Getah British, William Kellie Smith sekitar 1910 . Diilham dari Istana Moghul di Agra, bagaimanapun istana ini tidak dapat disiapkan sepenuhnya apabila pemilik dan 70 pekerja nya meninggal dunia. Biarpun hanya siap sebanyak 70 %, namun istana ini masih dikunjungi oleh orang ramai apatah lagi mempunyai kisah mistiknya tersendiri!

Food Hunt Di Pulau Pinang

Buat pencinta makanan, pastikan anda merancang berkunjung ke Pulau Pinang dalam senarai wajib! Bukan sahaja dalam negara, malah negeri ini juga cukup terkenal di kalangan pelancong luar negara. Menjanjikan pelbagai aneka makanan yang lazat dan menarik, menu-menu seperti Deen Maju Nasi Kandar, Pasembor Padang Brown, Mee Sotong Hameed Pata, Teochew Chendol mesti berada dalam ‘list’, kalau tidak percutian anda ke Pulau Pinang pasti tidak bermakna.

Sky Mirror Kuala Selangor

Tidak dinafikan bahawa Selangor sememangnya mempunyai pelbagai tarikan yang menarik. Namun, pernahkah anda berkunjung ke Sky Mirror di Kuala Selangor? Sebagai info, lokasi ini cukup digemari oleh pelancong-pelancong luar seperti dari Korea, Jepun dan China. Di kesempatan ini, apa kata anda kunjungi Sky Mirror!

Untuk ke sini, pastikan anda membuat tempahan terlebih dahulu menerusi operator mereka dan bertanyakan tarikh dan masa yang sesuai untuk dikunjungi. Perlu diingatkan, untuk dapatkan ‘sky mirror anda hanya boleh berkunjung di beberapa waktu bergantung pada keadaan air laut pasang dan surut.

Encore Melaka

Tidak keterlaluan jika kami katakan Melaka antara negeri yang paling banyak muzium! Boleh dikatakan hampir segala-galanya mempunyai muziumnya sendiri, sesuai dengan jolokan Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah. Dalam kebanyakan muzium dan galeri, sesuai untuk kami syorkan anda kunjungi Encore Melaka. Pastikan sekali dalam seumur hidup anda, Encore Melaka sudah berada dalam senarai.

Bukan sahaja menghiburkan dengan pelbagai kisah sejarah yang dipersembahkan dengan bentuk yang menarik, malah rekaan bangunan yang unik menjadi lokasi pilihan untuk anak muda bergambar sebagai perkongsian di laman Instagram.

Jeram Toi, Negeri Sembilan

Jika negeri lain punyai tarikan dari segi hutan dan mungkin juga taman tema, Negeri Sembilan pula tampil dengan tarikannya yang berunsurkan air dan menjadi tumpuan ramai pelancong. Selain laut, hutan lipur di Negeri Sembilan menjanjikan ketenangan yang cukup sempurna. Sebagai contoh di Jeram Toi, Negeri Sembilan yang mula diterokai oleh British pada tahun 1895. Tertanya mengapa jadi tarikan? Semestinya kerana dua buah kolam semula jadi tersedia dengan airnya yang cukup jernih!

Mossy Forest, Cameron Highland Pahang

Ladang teh dan strawberry mungkin terlalu biasa buat pengunjung yang ke Cameron Highland.Untuk kali ini, apa kata kerahkan sedikit tenaga anda untuk masuk ke dalam Mossy Forest yang terletak berhampiran puncak Gunung Brinchang. Kami pasti anda pasti tersenyum lebar ketika masuk ke dalam hutan yang berusia lebih dari 200 tahun ini. Percaya atau tidak, media antarabangsa telah senaraikan Mossy Forest ini sebagai salah satu hutan yang paling insta-worthy di dunia! Ini wajib masuk dalam senarai ‘travel’ anda.

Terrapuri Heritage Village, Terengganu

Negeri Cantik Budaya Menarik! Itulah slogan buat negeri Terengganu. Kaya dengan pelbagai tarikan dan juga warisan, suka untuk kami gambarkan perasaan yang tidak pernah jemu setiap kali berkunjung ke sini. Ketepikan seketika pantai-pantai yang sedia maklum akan kecantikannya, kali ini kami ingin syorkan anda lawati dan menginap sendiri di Terrapuri Heritage Village yang terletak di daerah Setiu.

Untuk pengetahuan anda, kesemua villa disini merupakan rumah asal Terengganu Melayu Klasik yang telah dibaik pulih. Bukan sahaja unik, malah pemandangan indah berhadapan Laut China Selatan juga menjanjikan ketenangan. Tidak merancang untuk menginap? Anda boleh lawati dan bergambar sepuas-puasnya di Terrapuri Heritage Village!

Pasar Terapung Pulau Suri, Kelantan

Teringin nak makan ‘Street Food’ di Hatyai? Ttapi kekangan kerana PKPP? Jangan risau! Kini anda boleh merasai pengalaman yang hampir sama dengan membeli belah di Pasar Terapung Pulau Suri yang dibuka sekitar 2016. Pelbagai jenis makanan ada jual disini. Yang paling penting, sediakan wang secukupnya dan makan sehingga puas!

Pulau Lankayan, Sabah

Jika anda berhasrat untuk berkunjung ke pulau-pulau yang cukup cantik di Malaysia, Sabah adalah pilihan yang tepat! Terlalu banyak pulau dan pantai yang menarik untuk dikongsi di negeri di bawah Bayu ini, namun Pulau Lankayan antara ‘hidden gems’ yang patut anda kunjungi! Bukan sahaja air yang jernih malah panorama di dalam laut juga cukup mempesonakan. Nak snorkeling? Inilah tempatnya!

Kalimantan View Point, Sarawak

Bukan di Indonesia, sebaliknya hanya di Siburan Sarawak! Kalimantan View Point ini mendapat nama kerana anda boleh menikmati pemandangan dari puncak ini yang mana turut kelihatan negara jiran. Malah, suhu disini juga cukup nyaman kerana mencecah 16 hingga 28 darjah celcius. Sesuai untuk aktiviti trekking dan seangkatannya, untuk menuju ke sini anda boleh memandu sehingga ke pintu masuk dan mula berjalan kaki sekitar 20 minit untuk sampai ke puncak. Memang berbaloi!

 

Jadi kesimpulannya, saya harap senarai ini dapat menolong anda memilih tempat menginap semasa anda bercuti lagi-lagi di tempat menarik di Malaysia ni nanti.

Sumber: roamingman.my

Baca Juga: Bercuti dengan anak kecil? Ini beberapa tips yang perlu dilakukan oleh IbuBapa

Related Posts