36 Tempat Menarik Di Sarawak | Percutian Sekeluarga

Bila bercakap menenai tempat menarik di Sarawak, memang tak lari dari keindahan flora dan fauna yang ada. Permukaan muka buminya dengan hutan sebagai aset yang penting bagi Sarawak. Menjadikan ia sebuah negeri yang menjadi habitat kepada ribuan spesies tumbuhan dan haiwan.

Kewujudan Taman Negara yang banyak membuka peluang kepada para pelancong untuk bukan sahaja menikmati habitat semulajadi. Malahan pelbagai aktiviti turut dapat dijalankan secara tidak langsung contohnya meredah hutan, perkhemahan, mendaki dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, anda dapat lihat bahawa di Sarawak masih banyak lagi penduduk yang mengekalkan gaya hidup tradisional. Anda dapat mempelajari tentang kepelbagaian etnik yang wujud di Sarawak misalnya etnik Bidayuh, Orang Ulu, Iban, dan lain-lain yang secara keseluruhannya adalah 27 etnik.

Kepelbagaian etnik bermakna pelbagai hasil kraftangan yang kreatif, pelbagai jenis makanan dan tentunya pelbagai budaya yang unik dapat anda saksikan. Ini sudah memadai untuk membuat anda menikmati seribu satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan di sini.

Kalimantan View Point

Ada yang tertanya-tanya macam mana nama wilayah dalam Indonesia ni boleh wujud di Malaysia? Kalimantan View Point ini sebenarnya diberi nama sedemikian kerana dari kawasan tanah tinggi ini anda boleh menikmati pemandangan yang mencecah Kalimantan, Indonesia. Yang syoknya, panorama ini dapat dinikmati sambil badan diselimuti kedinginan udaranya yang bersuhu hanyalah dalam lingkungan 16 ke 28 darjah celsius sahaja.

Selain melihat pemandangan, aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah berjungle trekking, bermain golf atau mengayuh basikal sambil menikmati kehijauan alam.

Untuk menuju ke sini, anda boleh memandu sehingga ke pintu masuk, dan kemudian berjalan kaki dalam sekitar 500 meter atau 20 minit untuk ke puncak. Anda juga boleh mendapatkan khidmat pengangkutan dari resort terdekat. Namun begitu, pengangkutan yang disediakan ini memberi keutamaan kepada orang yang lebih berusia dan kanak-kanak.

Astana Kuching Sarawak

Astana Kuching Sarawak adalah sebuah istana bekas peninggalan jajahan British yang terletak di tebing Sungai Sarawak dan berhadapan dengan Kuching Waterfront.

Istana ini dibina pada tahun 1870 oleh Charles Brooke untuk dihadiahkan kepada isterinya Margaret Alice Lili de Windt. Rumah ini kemudiannya menjadi penginapan pasangan ini. Kisah tentang kehidupan mereka di istana indah ini dan juga berkaitan dengan jajahan di Borneo telah diabadikan di dalam memoir Margaret, yang diberi tajuk My Life in Sarawak.

Tasik Biru

Terletak dalam sekitar 35 km dari bandaraya Kuching dan 5 minit dari bandar Bau adalah sebuah keindahan yang terbentuk hasil daripada kerja perlombongan emas. Lokasinya adalah di Tasik Biru atau nama asalnya Tai Parit yang bila dikaji maksud perkataan bahasa Cina Hakka ini adalah bermakna parit besar.

Kerja-kerja perlombongan di tasik ini dikatakan bermula dari tahun 1898 sehinggalah 1921.

Sebelum lombong ini ditutup, kajian telah dilakukan untuk menganggarkan kandungan batuan emas yang tersimpan di sini, dan hasilnya mendapati bahawa tanah ini menyimpan sehingga 28,000 tan emas. Namun begitu, kerja-kerja perlombongan terpaksa dihentikan selepas galian mencecah 200 kaki kerana galian yang terlalu dalam ini menyebabkan saluran air di bawah tanah mula pecah dan menenggelamkan seluruh kawasan galian sehingga terbentuklah tasik ini.

Sebagai sebuah tarikan di Sarawak, Tasik Biru lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti kedai makan, taman rekreasi, tandas dan lain-lain.

Muzium Petroleum

Muzium Petroleum adalah sebuah muzium yang sungguh padat dengan info yang dapat membuka minda anda sekeluarga terutama sekali anak-anak tentang industri petroleum di Malaysia ataupun secara spesifiknya di Miri.

Terletak di Bukit Kanada, Miri, untuk menuju ke sini anda boleh berjogging atau mendaki sambil menikmati udara yang menyegarkan. Kawasan di sekitarnya juga cukup berangin, memang sesuai untuk dilawati sekiranya anda mencari ketenangan.

Setibanya di puncak bukit, anda bukan sekadar dapat melawat muzium, tapi juga dapat menyaksikan pemandangan yang luas sekitar bandaraya Miri. Kata orang, sambil menyelam minum air, sambil melawati muzium, bolehlah anda turut menikmati pemandangan menakjubkan yang ditawarkan dari bukit ini.

Luak Esplanade

Hanyalah 11 km dari kawasan bandar, Luak Esplanade merupakan sebuah kawasan pantai berpasir putih yang menjadi lokasi tarikan untuk aktiviti hujung minggu atau musim cuti bersama keluarga. Antara aktiviti yang sering dilakukan di sini adalah berkelah atau berbbq.

Pantai yang menyajikan pemandangan luas Laut China Selatan ini cukup meriah terutama sekali pada hari Sabtu atau Ahad, ketika mana banyak gerai-gerai dibuka yang menjual pelbagai makanan tempatan dan minuman.

Square Tower

Square Tower adalah sebuah bangunan comel berwarna putih dan berbentuk petak yang terletak di tebing Sungai Sarawak dan bertentangan dengan bangunan mahkamah lama. Bangunan ini dikatakan telah siap dibina pada tahun 1879 dengan tujuan untuk memperkukuhkan lagi kawalan penjara yang pertama terbina di Kuching. Untuk pengetahuan anda, ramai yang percaya bahawa di tingat paling bawah menara ini pernah digunakan sebagai penjara.

Walau apa pun kisah yang tersimpan di sebalik Square Tower ini, keindahan strukturnya tidak mampu dipertikaikan. Bangunan ini kini dijadikan kafe yang menyediakan pelbagai hidangan barat yang menyelerakan. Barulah syok nak datangkan? Dapatlah menghilangkan rasa lapar lepas puas berjalan ke sana-sini.

Pada hari dengan cuaca yang baik, anda berpeluang untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam yang sangat mengujakan. Ingin datang ke sini? Waktu yang terbaik adalah di awal pagi atau pada lewat petang kerana pada waktu ini anda dapat menikmati suasana yang sejuk berangin.

Taman Negara Niah

Taman Negara Niah memiliki sebuah gua yang termasyur di dunia kerana di sinilah wujudnya penemuan yang penting dalam sejarah dunia dimana di dalam Gua Niah ini, pakar arkeologi telah menjumpai pelbagai bukti kewujudan awal kehidupan manusia di Asia Tenggara iaitu pada 40,000 tahun yang lampau.

Selain daripada menerokai Gua Niah, terdapat banyak lagi aktiviti lain yang boleh dijalankan sebagai contoh jungle trekking melalui Madu Trail, jungle trekking melalui Bukit Kasut Trail, melawat Traders Cave, Kuala Gankira dan Rumah Chang.

Anda dinasihatkan untuk membawa lampu suluh, baju hujan atau payung, kasut dan pakaian yang bersesuaian untuk pendakian, penghalau nyamuk, serta topeng muka untuk mengelakkan bau najis kelawar.

Bagi anda yang berminat untuk meneroka Taman Negara Niah, anda boleh menginap di hostel ataupun chalet dengan membuat tempahan melalui Jabatan Perhutanan Sarawak, namun, tiada peralatan memasak yang disediakan di tempat penginapan ini. Terdapat juga hotel bajet yang menyediakan kemudahan makanan di Batu Niah.

Muzium Kebudayaan Sarawak

Muzium ini juga digelar sebagai Muzium Kehidupan. Jika anda ingin merasai sendiri pengalaman kehidupan etnik-etnik di Sarawak, di sinilah tempatnya. Berdasarkan kajian, Sarawak memiliki 27 etnik kesemuanya.

Anda dapat melihat replika rumah serta bangunan etnik-etnik utama di Sarawak sebagai contoh rumah panjang Orang Ulu, rumah tinggi Melanau, pagoda orang Cina dan lain-lain. Di dalam rumah ini anda akan dapat melihat kakitangan yang berpakaian tradisional sedang menjalankan aktiviti seharian mereka. Anda akan diberikan penerangan oleh kakitangan yang berada di muzium tentang kehidupan seharian etnik-etnik ini.

Anda juga dapat melihat persembahan kebudayaan sebanyak dua kali sehari. Sudah pastinya kraftangan tradisional masyarakat Sarawak turut dipamerkan sebagai contoh manik Sarawak dan Pua Kumbu yang merupakan tekstil tradisional kaum Iban.

Sekiranya anda ingin membeli kraftangan anda boleh melawat kedai kraftangan yang ada di muzium ini. Yang menariknya juga, di sini turut disediakan tempat untuk melangsungkan perkahwinan mengikut cara etnik seperti Melayu, Iban, Bidayuh atau Orang Ulu.

Taman Negara Mulu

Taman Negara ini memiliki keadaan muka bumi yang agak luar biasa. Anda dapat melihat pelbagai jenis tarikan contohnya kejernihan lingkaran air batu dan gua batu kapur di Taman Negara ini. Terdapat dalam lingkungan 3500 spesies tumbuhan vaskular yang tumbuh disini dan ia memiliki kawasan batu kapur yang paling kerap dijadikan kajian di dunia.

Pelancong yang datang boleh  tinggal di penginapan yang disediakan di Ibu Pejabat Taman Negara Mulu (HQ Park). Dinasihatkan agar anda membuat tempahan bilik dan tour sebelum ke Taman Negara ini agar segalanya berjalan dengan lancar apabila sampai di sini. Terdapat pelbagai jenis tempat tinggal yang terdapat di sini seperti rainforest lodge, hostel, bangle dan rumah panjang.

Diingatkan juga bahawa perjalanan dari HQ ke gua yang menggunakan jambatan kayu adalah agak licin, anda juga perlu melalui anak tangga yang juga licin di dalam gua nanti, kemudian anda perlu merentasi anak sungai dan melalui kawasan berbecak dan berlintah, maka dinasihatkan agar anda menyediakan pakaian dan kasut yang sesuai untuk perjalanan ini.

Pasar Serikin

Perjalanan yang diambil dari  bandar Kuching ke Pasar Serikin adalah dalam 1 jam. Walaupun begitu, pasar ini tetap menarik ramai pelanggan kerana barangan kraftangan yang dijual di sini adalah dalam harga yang rendah sekali.

Antara kraftangan yang anda boleh temui di sini adalah kain batik, tikar, bubu, makanan tradisi dan bermacam lagi. Anda dinasihatkan untuk  bertolak ke pasar ini dari Kuching pada pukul 8 pagi lagi kerana peniaga-peniaga pasar akan mula mengemaskan barang untuk pulang sebaik sahaja pukul 12 tengahari.

Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh

Rumah Panjang ini dibina pada tahun 1818. Rumah ini terdapat dua bahagian yang dipisahkan oleh sungai. Rumah klasik ini turut memegang rekod sebagai rumah panjang yang paling panjang di Sarawak.

Apabila anda melawat rumah panjang ini, anda akan dapat melihat kehidupan masyarakat Bidayuh. Dikatakan bahawa rumah panjang ini pada awalnya dibina untuk mengelakkan ancaman penyamun kerana memudahkan penduduk  untuk berkumpul menentang mereka.

Rumah Panjang ini terletak di kaki bukit Borneo Highland dan jaraknya dari Kuching adalah lebih kurang  90 km. Anda boleh juga melawat kawasan kolam air panas yang berada berdekatan dengan Rumah Panjang ini.

Sarakraf Pavilion

Pavilion ini merupakan bangunan rumah agam yang mempunyai rekabentuk zaman jajahan Cina (Chinese-colonial) yang mana didalamnya terdapat pelbagai kraftangan dan bengkel. Anda dapat melihat demo untuk lebih daripada 10 jenis kraftangan asli Sarawak serta melihat persembahan tarian tradisional masyarakat Sarawak.

Anda juga boleh menyertai kelas-kelas membuat kraftangan dan kelas tarian tradisional yang ditawarkan disini. Seronok bukan?

Muzium Sarawak

Untuk yang berperasaan ingin tahu dan mengenali Sarawak dengan lebih mendalam lagi, lawatilah Muzium Sarawak. Di sini, anda dapat melihat koleksi barangan yang penting dalam sejarah di Asia Tenggara.

Bangunan muzium ini dibina mengikut rekabentuk dewan bandaraya di Perancis. Muzium ini memiliki beberapa bahagian yang berbeza dan salah satu bahagiannya telah dibuka sejak tahun 1891. Jadi, bukan sahaja barangannya yang memiliki nilai yang antik malahan bangunannya juga begitu.

Untuk bahagian muzium yang terbaru, bahagian atasnya digunakan untuk program rasmi, tingkat bawah pula terdapat akuarium, memorial pahlawan dan taman botani.

Tugu Kuching

Tugu Kuching ini mewujudkan suasana yang unik kepada negeri Sarawak, memang tak sah sekiranya anda datang ke Sarawak tanpa bergambar dengan tugu-tugu kucing yang ada di sini. Tugu ini berada di hadapan pusat membeli-belah dan hotel-hotel di Kuching.

Sebenarnya, nama Kuching ini diberi berdasarkan kisah bahawa pada zaman dahulu terdapat banyak kucing hutan yang wujud di sekitar sungai di situ ketika kawasan ini masih dipenuhi hutan.

Taman Orkid Kuching

Taman Orkid Kuching ini bertempat di seberang sungai dari Waterfront. Anda boleh menaiki bot kayu yang dipanggil Penambang untuk menuju ke Taman Orkid ini dengan harga hanya RM0.50 dan perjalanannya mengambil masa selama 15 minit.

Jangan lupa untuk membawa kamera anda bersama dan sekiranya anda memiliki kamera yang mampu menangkap gambar mikro yang cantik adalah satu kelebihan kerana bunga-bunga orkid yang terdapat di taman ini amatlah fotogenik.

Taman Negara Bako

Taman Negara ini adalah yang terkecil di Sarawak, namun, ia menempatkan pelbagai jenis hidupan liar termasuklah monyet belanda  yang memiliki hidung yang besar ataupun dipanggil monyet proboscis yang hanyalah terdapat di Borneo. Di samping itu, terdapat juga pantai, laut, paya bukau dan kawasan air terjun untuk anda melakukan pelbagai aktiviti riadah.

Trek-trek yang terdapat di Taman Negara ini agak mencabar, jadi untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun perlulah diawasi pergerakan mereka. Untuk menjalankan aktiviti di sini, anda perlulah menghubungi pihak Jabatan Perhutanan Sarawak terlebih dahulu.

Hutan Simpan Semenggoh

Anda teringin melihat orang utan? Di sinilah tempatnya. Jaraknya dari bandar Kuching hanyalah 20 km. Orang utan disini diberikan latihan oleh ranjer-ranjer untuk hidup di dalam hutan sebelum dilepaskan ke hutan yang berada di sekitar.

Orang utan akan pulang ke pusat pemeliharaan pada pukul 9 – 10 pagi dan 3 – 3.30 petang untuk makan, jadi waktu-waktu ini adalah yang terbaik untuk anda melihat keletah orang utan yang amat menghiburkan hati di hutan ini.

Masjid Jamek Kuching

Masjid ini turut digelar Masjid Lama Negeri Sarawak dan ia berada di kawasan kota lama berdekatan dengan sungai Kuching. Masjid ini merupakan masjid pertama yang dibina di Sarawak pada tahun 1847.

Dahulunya ia dibina menggunakan kayu, dindingnya dibuat daripada papan dan atapnya pula daripada kayu bulian. Namun, masjid ini diperbaharui semula pada tahun 1968 dengan dinding yang berwarna merah jambu dan kubah yang keemasan. Anda boleh melihat keindahan masjid ini dari Waterfront lebih-lebih lagi pada waktu senja.

Kampung Melayu / Kampung Boyan

Terdapat banyak kampung Melayu tradisional yang boleh ditemui di sekitar Sungai Sarawak, namun yang paling menjadi bualan ramai adalah Kampung Boyan.

Antara tarikan utama yang terdapat di sekitar perkampungan Melayu ini adalah kehadiran kedai makan yang wajib disinggahi untuk merasai keenakan pelbagai hidangan tempatan seperti kedai My Village Barok. Kampung Boyan juga terkenal dengan jualan antara kek lapis yang tersedap di Sarawak seperti di Mira Cake House.

Untuk menuju ke Kampung Boyan, anda boleh menaiki bot penambang dari Waterfront dan turun di Fort Margherita.

Sibu Central Market

Kalau datang bercuti di Sarawak tapi tak singgah ke Sibu Central Market, macam tak sempurna sahaja. Mana tidaknya, dikenali sebagai pasar yang terbesar di Sarawak, pasar ini juga dikatakan pasar yang paling menarik di negeri ini.

Di pasar yang telah mula bertapak di Jalan Channel dari tahun 1996 ini anda boleh menemui pelbagai jenis barangan seperti buah-buahan yang eksotik, hasil kraftangan, sayur-sayuran dan banyak lagi.

Lamin Dana, Mukah (Perkampungan

Melanau)

Lawati kawasan Perkampungan Melanau ataupun Lamin Dana yang terletak di Mukah untuk sebuah pengalaman percutian yang sukar dilupakan.

Di sini, anda berpeluang untuk melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti bermalam di rumah terapung Melanau, berjalan di atas laluan kayu ketika melawat kawasan perkampungan Tellian sambil mendengar kisah-kisah yang menarik, menaiki bot untuk melihat keindahan flora dan fauna di sekitar Sungai Tellian, melihat kekayaan hasil kraftangan masyarakat Melanau dan banyak lagi.

Borneo Samariang Waterpark

Dibuka pada 31 Mac 2018, Borneo Samariang Waterpark adalah salah satu tarikan yang masih agak ‘segar’ di Sarawak. Untuk sebuah percutian yang penuh dengan keriangan, ini patut menjadi antara destinasi wajib singgah di Sarawak nanti.

Dibina di dalam kawasan berkeluasan 35 ekar, taman tema air ini terbahagi kepada 3 zon iaitu Hornbill Island, Salak Beach dan the Santubong Tower yang mana kesemuanya dikelilingi oleh hutan bakau.

Antara tarikan yang terdapat di sini adalah seperti Leisure Pool, Aqua Play, Kid’s Slides, Mount Mulu Clear Water River, Galaxy Slide, Canopy Slide, 6 Lane Racers, Family Raft Ride dan banyak lagi untuk kepuasan seluruh peringkat umur.

Reservoir Park Kuching

Ingin lari dari kesibukan kota dan udara yang ternoda di kawasan bandar? Tidak perlu mencari lokasi yang jauh, kerana tempat yang dicari ini masih lagi terletak di dalam bandaraya Kuching. Percayalah, masuk sahaja ke dalam Reservoir Park Kuching seolah-olah membawa anda ke dunia lain yang penuh dengan ketenangan dan kesegaran.

Sepanjang laluan taman ini dikelilingi oleh pokok-pokok berdaun hijau dan pokok bunga pelbagai warna. Pemandangan indah ini bertambah lagi serinya dengan kehadiran rama-rama berwarna-warni yang terbang bebas serta bunyi kicipan burung yang mendamaikan jiwa.

Taman ini bukan sekadar patut disinggahi kerana keindahan lanskapnya, tapi juga kerana nilai sejarahnya sebagai sebuah taman yang telah didirikan pada tahun 1895 oleh pihak British.

Taman Buaya Jong

Taman buaya Jong ini adalah yang terbesar di Malaysia, terdapat lebih dari seribu ekor buaya yang dijaga disini. Anda dapat melihat aksi buaya menyambar bangkai ayam yang diletakkan pada tali rentang sekiranya anda datang pada waktu buaya-buaya ini diberikan makanan iaitu pada pukul 11 pagi dan 3 petang setiap hari.

Anda boleh juga melawat mini zoo yang terdapat disini untuk melihat haiwan-haiwan seperti monyet, biawak monitor, musang, ular sawa dan banyak lagi.

Terdapat juga Muzium Buaya yang turut mempamerkan tulang buaya yang diberi nama Bujang Senang yang pernah tinggal di Sungai Batang Lupar, Sarawak sejak tahun 1941. Buaya ini amat terkenal dalam kalangan masyarakat kerana telah ramai manusia yang menjadi mangsanya.

Pantai Damai

Berdekatan dengan pantai ini anda dapat melihat hutan hujan tropika  yang paling tua di dunia dan menikmati pemandangan indah pokok-pokok hutan tropika yang mengelilingi Gunung Santubong. Anda boleh menginap di Damai Beach Resort yang menyediakan tempat tinggal yang sangat selesa.

Setelah puas melihat pemandangan pantai yang menghadap Laut China Selatan ini anda bolehlah melawat Kampung Budaya Sarawak yang berada berdekatan dengan pantai.

Borneo Highland Resort

Borneo Highland Resort ini terletak di Borneo Highland, di sini juga terdapat Hornbill Golf & Jungle Club. Sebenarnya ia agak mencabar untuk bermain golf di sini kerana cuaca yang begitu sejuk dan pandangan juga tidak begitu jelas kerana dikelilingi dengan kabus.

Resort ini terletak lebih kurang 80 km dari Kuching dan berdekatan dengan sempadan Sarawak-Kalimantan. Ketinggian Borneo Highland ini adalah dalam 600 – 1000 meter. Anda dapat menyaksikan acara tahunan seperti Perlumbaan Burung Negeri Sarawak dan Acara Memerhati Burung di kawasan tanah tinggi ini.

Jika anda teringin melihat kehidupan masyarakat etnik Bidayuh, anda boleh melawat Rumah Panjang Annah Rais yang terletak di kaki bukit Borneo Highland.

Fairy Cave & Wind Cave

Fairy Cave atau Gua Pari-Pari ini dinamakan sempena bentuk batu stalagmite yang berada di bahagian pintu masuk gua yang strukturnya berbentuk seperti dewa bagi masyarakat Cina.  Terdapat tangga yang disediakan untuk menaiki gua tersebut.

Gua ini juga memiliki kisahnya tersendiri dimana dikatakan bahawa pada dahulu kala terdapat sekumpulan manusia yang tinggal di situ, namun, mereka kerap mendera kanak-kanak yang menyebabkan mereka disumpah menjadi batu oleh dewa di situ.

Kebenaran kisah ini masih tidak diketahui namun terdapat beberapa batu yang berbentuk menyerupai manusia yang boleh anda jumpa di dalamnya. Kemasukan ke dalam gua ini adalah percuma.

Wind Cave adalah sebuah gua yang diberikan nama sedemikian kerana terowong di dalam gua ini adalah tempat laluan angin yang masuk dari satu ruang dan keluar ke ruang gua yang lain. Anda akan jatuh cinta melihat pemandangan air yang mengalir serta kelibat kelawar-kelawar yang berkeliaran di dalam gua ini.

Laluan di dalam gua adalah agak gelap, dinasihatkan agar anda membawa lampu suluh sendiri. Ia juga boleh disewa dengan harga RM3.

Taman Negara Kubah

Taman Negara Kubah memiliki banyak tarikannya yang tersendiri seperti gunung, paya bakau dan pelbagai jenis binatang. Tambahan lagi di sini juga menempatkan Pusat Hidupan Liar Matang yang mana haiwan-haiwan yang terancam dipelihara sebagai contoh orang utan, musang, beruang, dan juga beberapa spesies burung yang amat dikenali di Sarawak antaranya burung Kenyalang dan helang laut.

Untuk anda yang menyukai aktiviti lasak, anda boleh melakukan aktiviti jungle trekking dan mendaki Gunung Serapi. Untuk jungle trekking, lima laluan disediakan kepada anda untuk diredahi iaitu Palmetum Trail, Waterfall Trail, Rayu Trail, Selang Trail dan Belian Trail. Taman ini juga terdapat air terjun untuk anda bermandi-manda setelah hari anda dipenuhi dengan aktiviti yang memenatkan.

Anda masih lagi berfikir dua kali untuk pergi atau tidak ke sini? Untuk menaikkan lagi semangat anda, Taman Negara Kubah ini pernah dijadikan lokasi penggambaran bagi dua filem Hollywood iaitu Farewell to the King yang dilakonkan oleh Nick Norte dan The Sleeping Dictionary lakonan Jessica Alba.

Ia juga merupakan Taman Negara yang terkenal di dunia kerana seorang ahli botani yang terkenal, Odoardo Beccari mendokumentasikan di dalam bukunya, The Great Forest of Borneo bahawa spesies tumbuhan palma yang tumbuh di sini adalah antara yang terbaik di dunia.

Anda boleh menginap di chalet yang disediakan di Taman Negara ini ataupun di homestay yang berada di sekitar Kampung Matang.

Kuching Civic Centre

Dari bangunan yang futuristik ini anda dapat menikmati pemandangan 360 darjah bandar Kuching dan kawasan sekeliling sepuas-puasnya. Bangunan ini menempatkan planetarium yang pertama di Malaysia iaitu Planetarium Sultan Iskandar.

Bayaran masuk ke Civic Centre ini hanyalah RM2 sahaja dan anda dapat melihat pemandangan yang menyegarkan mata seperti Gunung Serapi, Santubung dan gunung-gunung lain yang wujud di Kalimantan.

Kuching Wetlands National Park

Taman ini terdiri daripada laut, pantai, dan ekosistem air tawar. Terdapat pelbagai jenis binatang liar di kawasan yang berpaya bukau ini  seperti proboscis monkey iaitu monyet yang berhidung besar, helang laut, buaya dan lain-lain.

Kuching National Wetlands Park ini terletak lebih kurang 15 km dari Kuching dan 5 km dari Pantai Damai. Kawasan ini juga berdekatan dengan muara Sungai Salah dan Laut Sibu. Untuk menuju ke taman ini anda akan dibawa menaiki bot dan beberapa orang pemandu pelancong akan membantu anda untuk menerokai taman ini.

Jambatan Darul Hana

Nikmati pemandangan yang mengasyikkan di sekitar Jambatan Darul Hana. Dari jambatan ini, anda dapat menyaksikan pemandangan di sekitar Sungai Sarawak dan juga bandaraya Kuching dengan sepuas hati. Anda juga tidak patut melepaskan peluang untuk melihat keindahan ketika matahari terbenam dari sini, sangat mengujakan.

Dah puas melihat pemandangan matahari terbenam? Jangan pulang lagi, kerana pada waktu malamlah bermulanya sebuah pemandangan yang jauh lebih menarik. Ini kerana pada setiap pukul 8.30 malam terdapat persembahan cahaya laser yang disertai dengan iringan muzik di kawasan pancuran air. Memang rugi kalau terlepas!

Annah Rais Hotspring

Nak bermain air sambil menyihatkan badan? Anda boleh singgah ke Annah Rais Hotspring. Bukan sekadar menawarkan mandian air panas yang baik untuk kesihatan badan, dalam masa yang sama anda turut dapat tenggelam dalam keindahan flora dan fauna.

Suasana di sekitar kawasan air panas ini cukup tenang, hanyalah ditemani oleh bunyi cengkerik dan pemandangannya pula penuh dengan kehijauan yang diwarnai dengan kehadiran rama-rama.

Sebaik keluar dari kolam air panas ini pula, anda boleh menenggelamkan badan di dalam air sungai yang mengalir jernih dan sejuk untuk menyegarkan badan sebelum melakukan aktiviti menarik lain.

Fort Margherita

Fort Margherita adalah sebuah struktur klasik yang telah didirikan pada tahun 1879 dengan tujuan untuk mengawal Sungai Kuching daripada kedatangan lanun. Untuk pengetahuan anda, bangunan ini diberikan nama Fort Margherita sempena nama isteri kepada Charles Brooke, Ranee Margaret.

Semasa berada di sini, anda juga boleh melawat The Brooke Gallery yang mempamerkan pelbagai dokumen bersejarah, karya seni dari zaman pemerintahan Raja Putih dan pelbagai lagi artifak lain.

Untuk menuju ke sini, anda boleh menaiki bot penambang dari jeti di Waterfront dengan bayaran hanya RM1.

Matang Family Park

Terletak 22 km sahaja dari Kuching, Matang Family Park adalah sebuah hutan hujan tropika berlanskap indah yang berkeluasan 87.50 km. Kedudukannya adalah di kaki bukit Gunung Serapi yang menjadi laluan Sungai Cina.

Sekiranya anda mendambakan kedamaian yang sebenar di dalam keindahan flora dan fauna yang masih tidak ternoda, bolehlah jadikan taman rimba ini sebagai destinasi lawatan di Kuching nanti.

Mengenai kemudahan yang disediakan, Matang Family Park lengkap dengan fasiliti seperti pit bbq, menara pemerhatian, tempat meletak kereta percuma, meja, pondok santai dan banyak lagi.

Taman Negara Gunung Gading

Taman Negara Gunung Gading ini merupakan tempat pemuliharaan Rafflesia yang pada mulanya dijalankan secara tertutup, namun Jabatan Taman Negara mula membukanya kepada orang ramai supaya dapat melihat khazanah alam ini dengan lebih dekat lagi.

Rafflesia merupakan bunga yang terbesar di dunia kerana kemampuannya untuk membesar sehingga satu meter diameter. Sekiranya anda teringin melihat bunga ini ketika ia mengembang besar, waktu yang terbaik adalah semasa musim hujan.

Untuk pengetahuan anda, bunga ini akan mengeluarkan bau yang agak pelik apabila mengembang untuk menarik perhatian serangga supaya terbang ke atasnya. Selain itu, daripada  Taman Negara ini anda dapat melihat pemandangan bandar Lundu serta pantai di Siar dan Pandan yang begitu indah sekali. Perjalanan dari Kuching ke Taman Negara ini mengambil masa selama 2 jam.

Muzium Kucing

Muzium ini adalah muzium  kucing yang pertama di dunia. Di sini anda dapat melihat foto-foto, seni dan cenderahati yang berkonsepkan kucing.

Terlalu banyak koleksi yang berkaitan dengan kucing yang dikumpulkan di sini iaitu sekitar 4000 dan ke atas. Jadi, untuk anda yang menyayangi kucing, bolehlah meluangkan masa anda ke sini, masuk juga percuma!

 

Sumber: maisinggah.com

Baca Juga: Sedang bercuti di luar negara, TIBA-TIBA ada stranger follow dari belakang! 11 Tips keselamatan semasa melancong di Luar Negara.

Related Posts