10 Pantai Menarik Di Kelantan | Negeri Pantai Timor

Kelantan ialah sebuah negeri yang terletak di pantai timur semenanjung Malaysia.

Kedudukan tempatnya yang strategik, berhampiran dengan pantai bersempadan pula dengan Thailand menjadi lokasi pelancongan menarik untuk dilawati.

Jom kita tengok 10 pantai yang menarik di Kelantan.

 

Pantai Senok

Pantai Senok juga dikenali sebagai ‘Pulai Nami’ yang terletak di daerah Bachok kini sering ditarik perhatian pengunjung setempat mahupun pelancong luar sejak lokasi ini menjadi viral di Facebook.

Pemandangan di Pantai Senok ini umpama di ‘Nami Island’ yang dikelilingi pokok rhu yang disusun cantik dan lurus secara semulajadi.

Pantai ini sesuai dijadikan tempat untuk berswafoto bersama keluarga dan rakan atau tempat untuk sambutan acara tertentu seperti pre-konvo, pre-wedding dan sambutan hari jadi.

Jadi, tidak rugi anda ke sini dan wajib pergi kalau anda mahu dapatkan hasil gambar yang cantik.

 

Pantai Bisikan Bayu

Pantai Bisikan Bayu merupakan pusat pelancongan yang terawal dibangunkan di Pasir Puteh.

Pelbagai kemudahan asas disediakan di sini seperti bilik persalinan, surau, tandas dan taman permainan.

Pantai ini sesuai dijadikan destinasi penginapan bersama keluarga kerana terdapat banyak chalet yang disertakan dengan kolam renang sebagai aktiviti rehlah bersama yang tersayang.

 

Pantai Irama Bachok

Pantai Irama adalah pantai paling terkenal di Bachok.

Dinamakan dengan Pantai Irama kerana seolah-olah bunyi tiupan angin yang menenangkan jiwa.

Pantai ini sangat cantik, memiliki air laut berwarna biru serta dikelilingi pokok rhu dan kelapa sesuai dijadikan tempat untuk bersantai.

Saban hari, pengunjung tempatan akan ke sini untuk melakukan aktiviti pantai seperti berkuda, berbasikal, banana bot dan macam-macam lagi.

Ada juga gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis pakaian, makanan dan minuman. Pilihan restoran  yang sedap-sedap juga terdapat di sini.

 

Pantai Tok Bali

Pantai Tok Bali merupakan pantai yang menjadi penempatan para nelayan yang melakukan aktiviti penangkapan ikan di laut.

Pantai ini terkenal menjual pelbagai makanan laut yang segar dengan harga yang berpatutan.

Pantai ini juga menjadi tumpuan para pelancong serta penduduk sekitar ini untuk menikmati keindahan pantai yang agak tenang.

Juga terkenal dengan beberapa gerai makanan laut yang sedap kerana kebanyakan ikan, sotong, udang semuanya dimasak dengan segar.

 

Pantai Sabak

Pantai Sabak terletak di Pengkalan Chepa tidak jauh daripada Airport Kelantan.

Di Pantai Sabak inilah lokasi serangan pertama Jepun di Tanah Melayu. Pihak Inggeris juga ada membina kubu pertahanan di sini.

Pantai ini antara pantai paling ramai dikunjungi pelancong asing untuk berjemur sambil merasai suasana panas di tepi pantai.

Jika dilihat pantai ini merupakan pantai yang menempatkan bot-bot nelayan yang keluar masuk di kala mencari rezeki.

Paling femes di sini adalah restoran ikan celup tepung atau dikenali sebagai Acu Tera yang mana sering dikunjungi penduduk tempatan kerana keenakan dan kesegaran makanan laut yang boleh didapatkan di sini.

 

Pantai Mek Mas

Pantai Mek Mas antara salah satu lokasi yang terpencil yang jarang diketahui ramai orang.

Namun, tempatnya agak menarik kerana ia adalah sebuah pantai yang bersambung dengan sungai serta  mempunyai beberapa gunung berpasir.

Jika anda mahu feeling-feeling di padang pasir atau berada di kawasan gurun sahara, di sini adalah tempat yang sesuai untuk anda mendapatkan gambar yang cantik bersama rakan atau yang tersayang.

Tempat ini juga sesuai dijadikan tempat untuk majlis tertentu seperti wedding photoshoot, pre-wedding atau pre-konvo yang pastinya mendapatkan hasil gambar yang sangat menakjubkan.

 

Pantai D’Aur

Pantai D’Aur terletak di daerah Bachok. Merupakan salah satu lokasi paling ramai dikunjungi kerana dekorasi tempatnya yang cantik.

Kawasan ini dijaga rapi untuk mengekalkan kecantikan pantai supaya sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat. Memiliki pasir pantai berwarna putih dan pemandangan yang sangat indah terutamanya pada waktu matahari terbenam.

Tempat ini sangat sesuai dijadikan tempat bersantai, berswafoto, menyambut hari-hari penting bersama rakan dan pasangan. Bayaran masuk hanyalah 5 ringgit untuk sebuah kereta.

 

Pantai Cahaya Bulan

Pantai Cahaya Bulan merupakan pusat peranginan yang terawal dibangunkan di Kelantan.

Jika dahulu dipanggil dengan Pantai Cinta Berahi namun ditukar oleh Menteri Besar Kelantan suatu ketika dahulu kerana kurang elok panggilannya.

Lokasi pantai ini paling dekat dengan Bandar Kota Bharu menjadikan pelancong sering mengunjung ke sini untuk bersiar-siar bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

Pantai ini menarik kerana memiliki air laut yang bersih serta kawasannya yang panjang dan lebar yang dikelilingi batu. Salah satu pantai yang menarik di Kelantan.

Pantai ini juga mempunyai tembok sebagai benteng daripada hakisan air laut serta turut menjadi tempat untuk pelancong  menikmati pemandangan laut serta tiupan angin pantai yang nyaman.

Terdapat juga pelbagai pilihan gerai makanan yang dijual di sini serta resort sebagai kemudahan penginapan kepada pelancong.

 

Pantai Geting

Pantai Geting Tumpat antara sebuah tempat peranginan yang sesuai sesuai untuk mengadakan aktiviti berkeluarga kerana keluasan tempatnya yang agak besar .

Paling meriah pada hari Jumaat kerana pelbagai gerai makanan dan pakaian dijual disekitar ini.

Kemudahan asas turut disediakan di sini seperti tandas, wakaf, tempat letak kereta dan  taman permainan untuk kanak-kanak.

Pelbagai juga aktiviti sukan untuk kanak- kanak yang ditawarkan seperti supa dupa, belon air, dan bermacam-macam lagi.

Akan tetapi, pantai ini tidak sesuai untuk kanak-kanak bermandi-manda kerana ombaknya begitu besar dan agak curam. Kalau hanya hendak bermain layang-layang, pasir atau permainan kanak-kanak boleh kerana pantai ini mempunyai padang berpasir yang sangat luas.

Pesta Wau Antarabangsa juga turut sesuai diadakan di sini kerana cuaca dan tiupan angin di sini agak baik. Pantai ini memang terkenal dengan acara pesta wau yang sangat meriah untuk anda pergi.

 

Pantai Sri Tujuh

Pantai Seri Tujuh yang terletak di Tumpat ini antara kawasan rekreasi paling meriah dikunjungi terutamanya pengunjung dari Kelantan.

Dinamakan dengan nama Pantai Seri Tujuh kerana memiliki tujuh teluk di kawasan sekitarnya yang menjadikannya salah satu pantai yang menarik di Kelantan.

Tidak hairanlah, jika hujung minggu atau setiap petang ramai orang bersiar-siar di sekitar ini kerana tempatnya agak unik yang mana ia memiliki tasik dan pantai bertembung antara satu sama lain.

Paling menarik adalah permainan sukan air seperti paddle boat dan berkayak boleh bermain di sini dengan harga rm13-14 untuk satu permainan.

Tempat ini juga sesuai dijadikan tempat untuk berkelah kerana kawasannya agak teduh yang dikelilingi pokok rhu.

 

Sumber: listikel.com

Baca Juga: 10 Pantai Di Terengganu Yang Menarik Bakal Buat Anda Kagum

Related Posts