Tempat Menarik Untuk Honeymoon

Banyak pasangan yang sudah melangsungkan pernikahan mereka sepanjang cuti Tahun  Baru Cina baru baru ini. Pasti setiap pasangan ini mengimpikan satu trip honeymoon yang romantik bersama yang tersayang. Mari saya kongsikan beberapa tempat yang menarik dan sesuai yang korang boleh pergi untuk honeymoon.

Cameron Highlands

Cuacanya yang sejuk dan nyaman menjadikannya antara tempat popular yang sering menjadi pilihan oleh pasangan pengantin baru untuk dijadikan destinasi berbulan madu. Persekitaran yang kondusif dan tenang mampu merehatkan minda dan memberi keselesaan kepada pasangan yang telah berpenat lelah bagi menjayakan kenduri mereka. Antara aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang anda berada di sini ialah memetik strawberi, berjalan ke taman lebah dan rama-rama dan berjalan di kawasan ladang tanaman teh. Terdapat banyak pilihan hotel yang boleh disewa di sekitar Cameron Highlands yang boleh dipilih mengikut kesesuaian duit poket anda. Pastinya kenangan manis yang dicipta bersama pasangan di sini akan menjadi kenangan yang terindah. Nikmatilah udara yang segara di Tanah Tinggi Cameron ini sepanjang anda dan pasangan berbulan madu di sini. Pastinya anda tidak akan pernah menyesal.

 

Kundasang

Kundasang juga merupakan salah satu tempat yang menarik untuk dilawati oleh pasangan pengantin baru. Apabila anda berada di Kundasang, tempat pertama yang wajib anda lawati ialah Desa Cattle Dairy Farm ataupun lebih dikenali sebagai “New Zealand kecil”. Kebanyakan pelancong menggelarkannya begitu kerana latar belakang tempat tersebut seakan-akan anda sedang berada di New Zealand. Anda juga jangan lepaskan peluang untuk pergi ke Kinabalu Park untuk melihat sendiri gunung yang tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu yang berketinggian 4095.2 meter. Antara tempat-tempat lain yang anda boleh lawati ialah Mini Strawberry Farm, Vegetable Market farm dan Poring Hotspring. Anda tidak akan pernah menyesal apabila pulang dari berbulan madu di Kundasang ini.

 

Fraser Hills

Fraser Hills juga salah satu tempat percutian tanah tinggi yang udaranya sejuk dan mendamaikan. Jika anda seorang yang sukakan ketenangan, disinilah tempatnya. Tempat yang tidak terlalu sesak dengan pelancong dan banyak hotel-hotel yang anda boleh pilih untuk penginapan. Apabila sampai di sini, benda pertama yang anda wajib lakukan ialah bergambar di depan menara jam. Aktiviti berkuda dan memanah di The Paddock pastinya akan membuatkan honeymoon anda bertambah ceria. Untuk lebih romantik, anda boleh bersampan di Allen’s water sambil memberi makanan kepada ikan. Perasaan kasih dan sayang anda bersama pasangan pastinya akan bertambah-tambah.

 

Genting Highlands

Genting Highlands juga dikenali sebagai kota keriangan. Cuaca disini sangat sejuk dan berkabus. Jangan lupa untuk membawa outerwear bila ke sini kerana suhu persekitarannya pasti membuatkan tubuh anda menggigil. Apa yang anda boleh dilakukan disini?

Tarikan terbaru disini ialah Genting premium Outlet yang dilengkapi dengan pelbagai butik-butik barangan berjenama. Pasti pengantin perempuan tersenyum riang untuk membeli-belah disini. Terdapat juga taman rama-rama dan tempat untuk memetik strawberi. Kepada pasangan yang ingin mencuba menaiki kereta kabel, disinilah tempatnya. Sesuai untuk mereka yang belum pernah menaiki kereta kabel kerana treknya yang tidaklah begitu panjang.

 

Pulau Langkawi

Pulau Langkawi cukup terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia. Pulau legenda ini dipenuhi dengan sejarah lampaunya yang sentiasa diingati oleh penduduk setempat. Disini, anda boleh menaiki kereta kabel terpanjang didunia sepanjang 2.2km. Pasti anda akan kagum dengan keindahan panorama yang dapat dilihat dari dalam kereta kabel. Tasik Dayang Bunting merupakan antara tarikan apabila anda berkunjung ke sini.  Mitosnya ialah air daripada tasik ini mampu memberi kesuburan kepada sesiapa yang meminumnya. Sesuai untuk pengantin perempuan mencubanya untuk mendapatkan zuriat di masa akan datang. Aktiviti island hopping, lawatan ke makam Mahsuri dan Pantai Cenang pasti menambahkan lagi keceriaan percutian honeymoon anda.

 

Semoga perkongsian yang serba sedikit ini dapat membantu korang terutamanya pasangan pengantin baru dalam memilih tempat untuk berbulan madu yang menarik dan mendamaikan.

Related Posts