Negeri cantik, budaya menarik, sesuai untuk menggambarkan sebuah negeri yang terletak di pantai timur, Terengganu Darul Iman. Negeri yang bukan sahaja kaya dengan hasil laut, malahan juga antara destinasi pelancongan yang menarik di Malaysia.
Pulau-pulaunya, pantai-pantainya yang indah-indah belaka, memang tak akan habis berjalan kalau datang beberapa hari sahaja. Mungkin anda perlukan lebih daripada sebulan untuk merasai kesemuanya.
Bukan setakat itu, negeri ini turut kaya dengan warisan tradisional yang dijaga dengan baik sekali. Memang rugi kalau anda dan keluarga tidak datang untuk melihat dengan mata sendiri peninggalan bersejarah yang terdapat di sini.
Nak memudahkan anda merancang perjalanan apabila ke Terengganu nanti, di sini terdapat beberapa tempat menarik di Kuala Terengganu yang perlu anda lawati di negeri ini.
1. MASJID KRISTAL
Masjid yang terletak di Pulau Wan Man ini memakan bajet jutaan ringgit untuk dibina menggunakan hanya besi, kristal dan kaca. Sesuai dengan bajet yang dikeluarkan, masjid ini memiliki reka bentuk yang unik yang terkenal di seluruh dunia dan juga terletak di lokasi yang menarik.
Keindahan masjid ini juga dapat dilihat ketika and melalui Jambatan Sultan Mahmud yang merupakan salah satu jalan utama untuk ke kuala terengganu.
Waktu terbaik untuk menangkap gambar masjid ini adalah pada waktu matahari terbenam kerana cahaya matahari yang cantik pada waktu itu akan terpancar pada sekeliling masjid ini yang dibuat daripada material yang memantulkan cahaya.
2. PASAR PAYANG
Ini adalah tempat mesti lawat di Kuala Terengganu. Pasar Payang merupakan sebuah pasar yang memiliki sejarah tersendiri. Terletak di sebelah sungai, pasar ini menjanjikan pemandangan luar biasa selain daripada pelbagai macam produk yang dijual di dalam pasar ini.
Pasar Payang menampilkan bermacam-macam produk kraftangan dan tradisional masyarakat Terengganu. Bagi mereka yang pertama kali sampai di sini, boleh rambang mata dibuatnya.
Jika tidak singgah di pasar ini, bermakna anda masih belum selesai menjelajah negeri Terengganu.
3. MEDAN SELERA PANTAI BATU BURUK
Jika tiada idea untuk sarapan pagi, jangan risau. Medan selera ini mempunyai lebih dari 20 buah gerai yang menawarkan pelbagai jenis juadah untuk sarapan pagi.
Antaranya ialah, nasi dagang, nasi lemak dan bermacam jenis kuih muih. Tentang harga, kebanyakan makanan yang dijual disini masih dengan harga yang berpatutan.
Sambil bersarapan, anda juga boleh menghirup udara segar di pagi hari kerana medan selera ini terletak berhampiran pantai batu buruk. Boleh lah bawa anak-anak bermain di pantai selepas sarapan kerana banyak aktivity yang boleh dilakukan disini, terutamnya pada hujung minggu.
4. PUNCAK BUKIT PANORAMA
Seperti namanya, dari puncak bukit ini anda dapat menikmati keindahan panorama sekitar Kuala Terengganu sambil menikmati masakan enak di kafe yang terkenal dengan masakan panas dan baratnya.
Bagi mereka yang suka mengambil gambar pemandangan, bukit ini merupakan tempat yang wajib anda kunjungi.
Nak bergambar gempak bersama orang tersayang? Ajaklah mereka ke sini. Pasti anda puas hati punyalah dengan pemandangan dari bukit ni.
5. PULAU PERHENTIAN
Sudah tentu ramai yang kenal pulau perhentian, tapi bagi mereka yang masih belum berkesempatan ke sini. Anda disarankan untuk bercuti di sini jika anda ke Terengganu.
Terdapat banyak pakej yang di tawarkan untuk ke pulau ini, anda hanya perlu pilih saja yang anda rasa terbaik. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan jika anda ke sini. Antaranya ialah, snorkeling, hiking dan banyak lagi.
Pulau ini akan ditutup dari bulan oktober hingga januari setiap tahun kerana musim monsun. Jadi rancanglah waktu yang sesuai jika ingin datang ke pulau ini.
6. AIR TERJUN SEKAYU
Hutan lipur sekayu atau lebih dikenali dengan nama air terjun sekayu merupakan salah satu kawasan perkelahan yang terkenal di terengganu. Air terjun sekayu yang terletak di kuala berang, terengganu ini menjadi antara tarikan pelancong.
Dengan udaranya yang nyaman dan pelbagai kemudahan tersedia, aktiviti berkelah dan mandi manda bersama keluarga sangat sesuai diadakan disini.
Sambil bergembira tu, janganlah lupa untuk menjaga keselamatan ahli keluarga yang lain terutamanya kanak-kanak. Jangan biarkan benda yang tidak kita ingini berlaku.
7. DAPO PATA UPTOWN KONTENA
Bagi mereka yang menggemari tempat makan yang agak hipster, dapo pata ini merupakan antara tempat yang patut anda kunjungi. Terletak di pantai tok jembal, kuala nerus. Tempat ini sangat popular terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Mempunyai suasana dan persekitaran yang menarik kerana berada ditepi pantai. Menjadi pilihan bagi mereka yang inginkan pemandangan menarik ketika bergambar.
Dengan berkonsepkan kontena, lebid dari 10 gerai tersedia disini. Pelbagai jenis makanan tersedia disini, semuanya dengan harga yang berpatutan. Rugi kalau datang ke Terengganu tapi tak singgah dekat sini.
8. WARUNG POK NONG
Sebut saja terengganu, pasti anda boleh bayangkan tentang juadah ikan celup tepung atau lebih terkenal dengan nama ICT. Antara kedai yang terkenal dengan juadah ini adalah warung Pok Nong.
Terletak di kampung mengambang telipot di daerah kuala nerus, kedai ini cukup terkenal dalam kalangan penggemar ICT.
Untuk makan disini, pastikan anda datang lebih awal. Kalau terlambat, beraturlah jawabnya. Kedai ini memang akan penuh dengan pelanggan yang ingin menikmati juadah mereka setiap hari. Jadi, bersedialah untuk beratur kalau datang ke sini.
9. BUKIT BESI RAINFOREST ENDURANCE PARK
Bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti lasak yang menguji ketangkasan fizikal, anda boleh memasukkan lawatan ke Bukit Besi Rainforest Endurance Park dalam bucket list anda.
Di sini anda boleh melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti motor cross, ATV, jungle trekking, berkayak dan wind surfing.
Menaiki ATV adalah salah satu aktiviti yang wajib anda cuba kerana laluan yang disediakan tersangatlah mencabar di mana anda perlu melalui laluan yang berlumpur dan berbukit-bukit. Dengan cabaran sebegini, barulah boleh jadi penunggang ATV yang pro, betul tak?
10. SUNGAI YAK YAH (Kelip-Kelip & River Cruise)
Sungai Yak Yah menawarkan beberapa aktiviti menarik untuk menyempurnakan percutian anda di Terengganu iaitu aktiviti melihat kelip-kelip di sepanjang sungai dan juga river cruise.
Untuk melihat kelip-kelip yang terdapat di sekitar Sungai Yak Yah, waktu kebiasaan kumbang bercahaya ini menggerumuni pokok-pokok di sekitar sungai adalah dalam sekitar 8 ke 10 malam antara bulan Julai hingga Oktober.
Bagi aktiviti river cruise pula ditawarkan setiap hari kecuali hari Jumaat. Anda boleh menuju ke Jeti Sungai Yak Yah untuk mendapatkan perkhidmatan bot dan menyelusuri sungai untuk melihat keindahan flora yang ditawarkan sekitar hutan paya bakau hijau.
Begitu banyak tempat menarik di Terengganu. Kesemua tempat ini dapat membantu anda untuk menenangkan diri serta bergembira bersama keluarga. Jadi rancanglah waktu yang terbaik untuk berkunjung ke sini.
Pasti anda tidak akan menyesal jika berkunjung ke negeri Terengganu ini.