Tips dan Persediaan Semasa Pemeriksaan Pegawai Imigresen

Imigresen

Pada post kali ini, saya nak kongsikan sedikit perkongsian tips dan persediaan untuk berhadapan dengan pegawai imigresen jika mengembara secara sendirian.

Walaupun passport Malaysia berada pada ranking ke-5 dunia, tidak bererti kita boleh terlepas dari prosedur sesebuah negara. Biarpun negara tersebut tidak memerlukan visa, bak kata pepatah backpackers, nak redah biar berilmu, apa-apa jadi taklah buntu.

TIPS PEMERIKSAAN IMIGRESEN

1- Pastikan anda sentiasa tunjukkan muka yang ceria dan sopan ketika melangkah masuk ke kaunter imigresen. Ucapkan juga sepatah dua seperti ‘Selamat pagi’ atau ucapkan salam sebelum mereka mula bertanya kepada anda. Jangan kedekut senyuman walaupun mungkin senyuman kita itu tak ikhlas.

2- Pakaian kena pastikan sentiasa kemas, mungkin kita ni jenis backpackers sempoi pakai baju koyak bawah pun tak kisah. Kerana pada pandangan kebanyakkan orang, berpakaian selekeh itu seperti orang miskin dan tidak berduit. Pegawai imigresen juga manusia, tak mustahil mereka juga akan beranggapan begitu.

Jika itu berlaku, akibatnya berbagai soalan yang akan ditanya, anda nak pergi mana? Berapa duit yang anda bawa? Bila sudah lepas masuk, nak pakai baju koyak bawah pun ikut suka, pegawai imigresen dah tak nampak.

3- Hanya perlu jawab soalan apa yang ditanya sahaja, tidak perlu untuk menghuraikan jawapan korang tu panjang-panjang.

4- Tunjukkan raut wajah yang penuh keyakinan, janganlah pula kita buat muka cuak. Niat kita hanya untuk pergi mengembara, bukannya nak pergi melanggar undang-undang negara tersebut.

5- Lepas tidur berjam-jam atas kapal terbang, bangun tidur mesti muka tak segar, mata kelihatan merah dan mulut juga berbau. Jadi sebelum kita melangkah ke kaunter imigresen, basuh muka terlebih dahulu supaya muka nampak lebih segar dan pastikan anda menggosok gigi terlebih dahulu, barulah pegawai imigresen dapat terima kunjungan anda dalam keadaan yang selesa.

Imigresen

6- Jika sebelum ini anda pernah ke negara tersebut dengan menggunakan passport lama, bawa sekali passport lama sebagai bukti yang anda pernah ke negara tersebut sebelum ini. Itu juga akan membantu anda untuk lebih yakin apabila berhadapan dengan pegawai yang banyak songeh gitu.

7- Sediakan tiket penerbangan pulang, seboleh-bolehnya buat dua salinan tiket anda tersebut, satu cetak atas kertas, dan satu lagi simpan dalam smartphone anda.

8- Sediakan jadual perjalanan sepanjang berada di negara tersebut, ke mana dan di mana anda akan pergi. Walaupun tak semua yang dicatat anda akan pergi, tetapi setidak-tidaknya kita ada perancangan, kerana perjalanan tanpa perancangan ibarat perjalanan tanpa arah tuju.

9- Seboleh-bolehnya anda sediakan juga bukti tempahan bilik penginapan yang lengkap beserta alamat dan nombor telefon di setiap tempat yang anda akan pergi.

10- Sekiranya anda juga membuat tempahan kereta sewa, sediakan salinan bukti tempahan, anda boleh tunjukkan salinan tempahan kereta sewa tersebut. Ini akan menguatkan lagi bukti yang anda hanya mahu mengembara di sesuatu tempat tersebut.

11- Apabila salinan bukti sudah lengkap dengan tiket pulang kapal terbang, bilik penginapan, dan lain-lain dokumen yang penting, janganlah pula kita lupa untuk bawa duit secukupnya. Bahagian ini yang paling ramai pengembara terkandas, kerana secara logiknya, setiap pengembara memerlukan duit yang mengcukupi di dalam poket.

Mungkin kita boleh menumpang kereta yang lalu jalan yang tidak akan dikenakan sebarang kos, tetapi itu bukan satu jawapan yang bernas untuk kita jawab kepada pegawai imigresen. Setiap negara lain kos sarah hidupnya, ada negara yang murah belanja dan ada yang mahal.

Jadi bawa tunai seikhlas hati mengikut kesesuaian sesebuah negara, jangan pula kita kira bajet mengikut nilai mata wang negara kita. Kita kena gunakan nilai mata wang negara yang akan kita mengembara untuk membuat bajet perbelanjaan kita apabila berada di sana.

12- Jika ada kad kredit, bawa sekali. Ini juga salah satu bukti kukuh yang anda punya sumber kewangan untuk mengembara. Mungkin kad kredit tu dah blacklist tak boleh pakai, tapi sekurangnya boleh dijadikan sebagai shadow income.

13- Jika anda tidak mempunyai kad kredit, bawa beberapa kad debit untuk menampakkan anda lagi hebat. Anda boleh bawa kad debit dari bank HSBC, kerana rangkaian bank HSBC sangat meluas di seluruh dunia.

14- Sebelum berlepas terbang, buat sedikit carian Google tentang prosedur pihak imigresen negara tersebut kerana terdapat sesetengah negara perlu isi kad ketibaan dan sebagainya. Dengan info tentang prosedur pihak imigresen tersebut, tak lah kita kelam kabut untuk isi borang bila tiba di tempat tersebut.

15- Jika anda masih dalam tempoh bekerja, bawa sekali surat cuti yang diluluskan dari syarikat yang anda bekerja. Ini juga boleh dijadikan sebagai bukti yang anda akan berada di negara tersebut hanya untuk tempoh tertentu sahaja. Ini juga dapat membantu untuk meyakinkan pegawai imigresen yang anda memang betul-betul datang untuk mengembara dan bukannya datang untuk bekerja secara haram ke negara tersebut.

16- Rajinkan diri untuk mebuat pembacaan dan buat sedikit kajian tentang tempat-tempat yang akan dikunjungi sebelum berangkat. Mungkin dengan maklumat-maklumat yang anda baca sedikit sebanyak membantu jika ditanya oleh pegawai imigresen.

17- Jangan sesekali membuka telefon atau menggunakan telefon bimbit di hadapan pegawai imigresen tanpa sebab kecuali tidak dapat dielakkan. Ini akan menimbulkan rasa curiga pegawai imigresen pada anda.

18- Jika anda berjalan dalam kumpulan, beratur sebaris di kaunter yang sama ketika di imigresen, jangan sesekali berpecah kepada kaunter yang berlainan.

19- Pastikan anda sentiasa membawa pen bersama, jika negara tersebut memerlukan anda untuk mengisi borang dan kad tertentu. Ini dapat memudahkan tanpa perlu nak pening-pening nak cari pen.

20- Akhir sekali, walauapapun yang bakal terjadi, yakin dan berserah pada Allah Yang Maha Esa, kerana kita hanya merancang dan Allah SWT yang menentukan segalanya.

Semoga bermanfaat perkongsian kali ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. Semoga pengembaraan kita dapat menjadi pengembaraan yang menyeronokkan.

Related Posts