Rakyat Malaysia Mungkin Boleh Ke Rusia Tanpa Visa, Rundingan Disasar Dimuktamadkan | Daily Cuti
Berita · Luar Negara

Rakyat Malaysia Mungkin Boleh Ke Rusia Tanpa Visa, Rundingan Disasar Dimuktamadkan

Diterbitkan 9 Jun 2026, 9:00 amDikemas kini 25 Nov 2026: Setakat laporan terkini (Ogos 2026), perjanjian belum dimeterai. Rakyat Malaysia masih perlu visa atau e-visa.Oleh Pasukan Daily Cuti
Katedral St Basil dan pengunjung di Dataran Merah, Moscow
Katedral St Basil di Dataran Merah, Moscow. Foto: Юрий Д.К. / Wikimedia Commons (CC BY 4.0)

Ringkasan

Apa berubah
Rusia dan Malaysia sasar muktamadkan perjanjian bebas visa untuk lawatan jangka pendek
Bila
Sasaran hujung 2026; tarikh kuat kuasa belum diumumkan
Siapa terkesan
Rakyat Malaysia yang merancang ke Rusia

Rakyat Rusia boleh masuk Malaysia tanpa visa sehingga 30 hari. Arah sebaliknya belum: rakyat Malaysia yang mahu ke Moscow atau St Petersburg masih perlu memohon visa.

Itu mungkin berubah. Kementerian Pembangunan Ekonomi Rusia menyenaraikan Malaysia, bersama Indonesia dan Kuwait, antara negara yang mahu dikecualikan daripada keperluan visa, dengan sasaran tahun ini. Menurut laporan Bernama dan TASS pada Jun 2026, Kementerian Luar Rusia akan membantu menyelaras perjanjian yang diperlukan.

Apa Yang Dirundingkan

Menurut Duta Rusia ke Malaysia, perjanjian itu akan membolehkan pelawat jangka pendek masuk tanpa visa, termasuk pelancong dan pelajar. Tinggal lama untuk bekerja atau tugasan diplomatik tidak termasuk.

Beliau juga menegaskan perjanjian mesti berasaskan prinsip timbal balik: kemudahan yang sama untuk rakyat kedua-dua negara.

Bila Boleh Guna

Belum ada tarikh. Pada Ogos 2026, Kedutaan Rusia di Malaysia berkata kedua-dua pihak merancang memuktamadkan perjanjian bebas visa untuk lawatan jangka pendek menjelang hujung 2026.

Memuktamadkan rundingan pun belum cukup. Perjanjian masih perlu ditandatangani di peringkat kerajaan dan diberi tarikh kuat kuasa. Sehingga itu berlaku, peraturan visa sedia ada kekal.

Sementara Itu: E-Visa

Rakyat Malaysia sudah boleh memohon e-visa bersatu (unified e-visa) Rusia secara dalam talian, tanpa perlu ke kedutaan. Duta Rusia berkata permohonan boleh diluluskan dalam kira-kira tiga hari.

E-visa ini untuk satu kemasukan. Tempoh tinggal yang dibenarkan berbeza antara sumber, jadi semak syaratnya di portal e-visa rasmi Kementerian Luar Rusia sebelum menempah tiket dan hotel.

Sumber: The Star dan Bernama/TASS (Jun 2026), Bernama (Ogos 2026). Dikongsi di Instagram Daily Cuti, 9 Jun 2026.Pembetulan: tiada. Jumpa kesilapan? Hubungi kami.